Jangan sakan 'membazar' di pasar Ramadan tanpa ketahui bahaya tifoid


  • Sihat
  • Khamis, 02 Mac 2023

Para peniaga diingatkan supaya mengambil vaksin tifoid sebelum mula berniaga bazar Ramadan tidak lama lagi.

BULAN Ramadan dan bazar sememangnya cukup sinonim apabila orang ramai tidak kira pelbagai latar belakang akan berkunjung untuk membeli pelbagai jenis masakan ditawarkan oleh para peniaga.

Sehubungan dengan itu, bagi peniaga yang ingin memohon permit membuka gerai di bazar Ramadan juga diwajibkan untuk mengambil vaksin tifoid di klinik atau hospital swasta dan beberapa majlis perbandaran tempatan.

Hal ini kerana, jika gagal mendapatkan vaksin tifoid, permit tidak akan diluluskan dan menurut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan perlu mendapatkan suntikan vaksin tifoid.

Suntikan vaksin tifoid boleh diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum para peniaga membuka kedai agar berkesan untuk mencegah penularan demam tifoid.

Dr Hanif

Dr Mohd Hanif merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Penyakit Cegahan Vaksin.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohd Hanif Zailani, tifoid atau demam kepialu adalah sejenis penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria "Salmonella typhi" dan biasanya merebak melalui makanan atau minuman tercemar.

Beliau berkata, gejala demam tifoid tidak berlaku serta-merta kerana ia biasanya mengambil tempoh satu atau dua minggu selepas seseorang dijangkiti.

"Demam panas berpanjangan, badan lemah dan lesu, sakit perut, sembelit atau cirit-birit dan kadangkala ruam seperti bintik-bintik merah yang rata pada bahagian atas badan merupakan simptom demam tifoid.

"Demam tifoid juga boleh menyebabkan kebocoran usus dan pendarahan gastrousus yang boleh menyebabkan keradangan hati, pundi hempedu, jantung, otak, radang paru-paru dan kematian," katanya.

Oleh itu, demam tifoid tidak boleh diambil mudah dan harus diberi rawatan awal untuk mengelakkan kesan-kesan yang teruk berlaku akibat penyakit itu.

Sehubungan dengan itu, pengendali makanan memainkan peranan penting dalam mencegah penularan demam tifoid kerana lazimnya penyakit tersebut boleh berjangkit melalui pengambilan makanan atau minuman tercemar.

Semua peniaga perlu memakai sarung tangan ketika berniaga, jika sarung tangan itu koyak atau telah digunakan ke bilik air, merokok, batuk atau bersin ia perlu diganti sebagai langkah pencegahan.

Namun, penyakit itu boleh dicegah melalui peningkatan sanitasi, pengendalian makanan dan minuman yang selamat serta pengambilan vaksinasi tifoid di samping perlu membersihkan premis sepanjang tempoh operasi.

Mr Ruba

Ruba Sundaram Muthusamy merupakan Ketua Penolong Pengarah (FSQD).

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Ruba Sundaram Muthusamy, kegagalan mendapatkan vaksin tifoid boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan pemeriksaan mengejut akan dilakukan setiap hari sepanjang tempoh operasi bazar Ramadan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram