Buta sebelah mata dan dibuang kerja tidak patah semangat bekas jurutera bangkit bergelar usahawan 'Lanun Kayu'


Affendi menerima trofi dan replika cek apabila muncul juara Program Liga Usahawan OKU Selangor.

MEMEGANG status orang kelainan upaya (OKU) bukanlah satu hal mudah kerana perlu berhadapan dengan stigma masyarakat yang meragui keupayaan mereka, malah ada juga bertindak biadap dengan mengejek atau dijadikan bahan jenaka.

Mohd Noor Affendi Bin Abdul Muin yang buta mata kiri akibat kemalangan ketika berusia lima tahun menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai pencetus semangat untuk berjaya sama seperti orang lain.

Ini dibuktikan menerusi perniagaan palet kayu yang dikenali sebagai Lanun Kayu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta produk palet kayu.

WhatsApp Image 2023-02-28 at 00.20.05

Affendi bersama isteri dan anak-anaknya.

Segalanya bermula pada dua tahun lalu apabila Affendi, 40, mula berjinak-jinak dengan seni palet kayu sebagai hobi selepas khidmatnya sebagai jurutera sebuah syarikat penerbangan tempatan selama 15 tahun berakhir apabila ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) ekoran pandemik Covid-19.

Namun disebabkan minatnya yang mendalam terhadap bidang pertukangan membuatkan dirinya belajar lebih jauh tentang bidang tersebut walaupun hanya belajar daripada YouTube.

Siapa sangka hobinya itu menjadi satu perniagaan palet yang menguntungkan sehingga Affendi mampu menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Bercerita semula detik manis itu, ayah kepada tiga orang anak itu melihat hobi tersebut mempunyai potensi sebagai perniagaan dan mula aktif membuat pelbagai barangan lain hingga mendapat tempahan daripada jiran dan rakan-rakan.

"Misi dan objektif saya adalah untuk membuat satu bilik pameran agar pelanggan mengenali produk yang saya jual, kerana sekarang saya hanya mengambil berdasarkan tempahan," katanya kepada Majoriti.

Kini, dia mempunyai tiga orang pekerja yang membantu melakukan kerja bertukang di bengkel berhampiran rumahnya, Bandar Saujana Putra, Selangor.

"Nasihat saya kepada usahawan OKU, untuk nampak kita sama dengan orang biasa, kita usaha lebih daripada orang biasa, jangan malu, jangan rasa diri kita kurang, anggaplah kekurangan kita sebagai kelebihan.

"Bagi saya kekurangan mata sebelah tidak menghalang untuk bekerja namun untuk aspek keselamatan saya kena lebih berhati-hati," tambahnya.

WhatsApp Image 2023-02-28 at 00.26.30

Rumah kucing merupakan salah satu produk yang dihasilkan oleh Affendi.

Antara produk yang dihasilkan seperti set meja makan, almari kasut, almari dapur, rak dapur, rumah kucing dan banyak lagi.

Pemilihan nama perniagaannya iaitu Lanun Kayu adalah sinomin dengan dirinya yang buta sebelah mata selain mahu orang ramai lebih mengenali produknya.

Disebabkan usahanya yang gigih itu, Affendi muncul juara bagi Program Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) dengan membawa pulang piala, sijil, geran perniagaan berjumlah RM3,000 dan layak ke peringkat SAY LEAD+. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram