Runtun hati ibu, bayi terpaksa dibedah selepas tujuh hari 'melihat dunia'


Kenangan Zarif bersama jururawat di hospital.

KETABAHAN seorang ibu dalam menjaga seorang anak yang menghidap sakit buah pinggang menarik perhatian ramai apabila tular di media sosial baru-baru ini.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan itulah yang menjadi pegangan hidup seorang ibu, Anna Mahiza Md Kassim ketika mengimbau semula kenangan video tular terbabit mengenai anak istimewanya bernama Zarif Azri Zakuan yang sudah meninggal dunia pada 17 Mei 2020 ketika usianya 12 tahun.

Anna yang juga pengasas TELEKUNG ANNA berkata, sejak dalam kandungan lagi, Zarif telah disahkan menghidap beberapa penyakit seperti buah pinggang dan masalah pundi kencing.

Berikutan isu tersebut, Zarif memiliki fizikal badan yang kecil dan tumbesaran terganggu kerana kesan daripada ubat diambil sejak bayi lagi.

Anna yang berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur berkata, apabila mengetahui anaknya mempunyai masalah sejak dalam kandungan, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah namun tidak mematahkan semangatnya untuk menjaga Zarif.

WhatsApp Image 2023-02-23 at 04.08.18

Percutian terakhir adik Zarif bersama keluarga semasa percutian mereka. Majoriti

"Walaupun ada perasaan sedih namun sebagai seorang yang beragama Islam,saya menerima ujian dari ALLAH dengan seikhlas hati.

"Mungkin bagi kami ia adalah satu ujian yang berat namun saya percaya, ujian orang lain dekat luar lagi berat, apa yang ALLAH bagi kena terima," katanya kepada Majoriti.

Tambahan lagi, Zarif dilahirkan sebulan lebih awal iaitu pada usia kandungan masih lapan bulan secara pembedahan kerana doktor menasihatkan jika lebih awal Zarif dilahirkan, terdapat kemungkinan bantuan kesihatan dapat diberikan kepadanya.

Lebih memilukan lagi, Anna berkongsi bahawa anak bongsunya itu terpaksa menjalani pembedahan dan berpantang di hospital tujuh hari selepas dilahirkan.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, Zarif merupakan seorang yang tidak banyak merungut dan mendengar kata orang tua disebabkan itu dia mengetahui jadual pengambilan ubat dan rutin hariannya.

Zarif yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul Utama, Kuala Lumpur mengikuti Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) juga pernah menggalas tugas sebagai ketua kelas.

Dalam masa sama, Anna turut sempat mengingatkan ibu bapa yang berdepan cabaran sama perlu tabah dan tidak terlalu awal berputus asa.

"Kena terima anak yang ada masalah, jangan rasa benda itu beban. Jangan menafikan benda tersebut, kalau anak sakit bawalah anak anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin dan jangan malu dengan sembunyikan jika anak anda sakit.

"Jika sudah terima kenyataan anak sakit, kita akan usahakan untuk mencari ubat," katanya.

Baginya, sudah menjadi rutin harian dia dan suaminya berulang-alik ke hospital kerana kadang-kadang mereka perlu datang pagi atau petang untuk mengambil air kencing anaknya dan berjumpa doktor.

Tambahan pula, jika Zarif tidak dapat membuang air kecil, mereka akan menggunakan tiub kencing (urinari kateter) untuk mengeluarkan air kencing.

Ibu Zarif juga pernah bekerja sebagai pegawai kewangan di sebuah syarikat sebelum memulakan bisnes TELEKUNG ANNA namun disebabkan ingin menjaga anaknya, dia terpaksa berhenti kerja kerana sebelum ini, Zarif perlu mengambil ubat empat jam sekali.

Anna turut mengatakan tidak berani untuk hantar ke nurseri atau rumah pengasuh kerana beliau tidak yakin mereka akan menjaga Zarif seperti yang dijaganya, selain memberitahu Zarif terkenal dengan sikapnya yang baik menjadi kesayangan oleh semua jururawat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram