Jangan paksa! Ketahui cara 'puasa selamat' untuk kanak-kanak sepanjang Ramadan


  • Sihat
  • Isnin, 27 Mac 2023

Kanak-kanak digalakkan berpuasa namun perlu mengikut kemampuan diri sendiri.

RAMADAN merupakan bulan paling istimewa bagi umat Islam memandangkan ia adalah bulan yang mana kitab suci al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad (SAW) ketika perisitiwa Nuzul Quran di Gua Hira', Arab Saudi.

Puasa bukan sahaja diwajibkan untuk golongan dewasa namun kanak-kanak juga digalakkan untuk berpuasa.

Sudah pasti ibu bapa atau orang ramai tertanya-tanya jika kanak-kanak digalakkan berpuasa atau tidak. Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti dalam mendidik anak mereka untuk berpuasa.

puasa budak

Anak-anak perlu diberi pendedahan tentang kebaikan bulan Ramadan.

Menerusi perkongsian daripada Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Dr Rashdan Mohamed dalam hantaran di laman Facebook peribadinya, syarat wajib puasa jika mengikut hukum termasuk baligh manakala anak-anak yang belum baligh tidak wajib berpuasa.

Baligh di sini bermaksud keluar haid bagi perempuan dan lelaki keluar air mani, biasanya dalam lingkungan umur 10 hingga 15 tahun adalah diwajibkan berpuasa.

Selain itu, jika ibu bapa mahu melatih anak mereka yang belum baligh berpuasa, digalakkan untuk bermula dari umur tujuh tahun ke atas, namun perlu mengikut keupayaan diri dan tidak mempunyai masalah kesihatan kronik anak mereka.

Bagi kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun tidak digalakkan, namun bergantung kepada individu itu sendiri.

Tempoh masa bagi yang berpuasa adalah lebih kurang 14 jam sehari bergantung kepada faktor geografi. Ibu bapa tidak perlu untuk meminta anak-anak berpuasa dalam tempoh tersebut kerana biasanya mereka boleh bertahan untuk tidak makan dan minum air hanya sepanjang waktu tidur iaitu anggaran tujuh hingga sembilan jam sehari.

Ibu bapa juga digalakkan melatih mereka berpuasa tidak melebihi tempoh tidur tersebut, contohnya, jika imsak bermula pukul 5.30 pagi, anda perlu memantau keadaan mereka berpuasa dari pukul 11.30 tengah hari hingga 1.30 petang waktu zohor.

Ibu bapa perlu membenarkan mereka berbuka jika tidak dapat menahan lapar walaupun hanya bertahan dari pukul 8 hingga 10 pagi. Namun begitu, anda juga boleh mencuba memanjangkan tempoh berpuasa itu sedikit demi sedikit dengan selamat.

Selain itu, ibu bapa perlu mengetahui kesihatan anak-anak mereka sama ada sesuai untuk berpuasa atau tidak terutamanya anak mestilah sihat iaitu tidak demam dan sentiasa mendengar keinginan mereka untuk berbuka puasa.

Di samping itu, terdapat juga petanda yang membimbangkan perlu diambil perhatian iaitu jika anak-anak menggigil, lemah, keletihan, berpeluh, berdebar-debar dan pengsan, itu adalah petanda kekurangan gula dalam darah.

Petanda seperti dahaga, kering bibir, lemah dan letih harus membenarkan mereka buka puasa dengan segera walaupun ketika itu hanya beberapa minit sebelum azan Maghrib.

Terdapat masalah kesihatan tertentu yang menyebabkan paras gula rendah kerana berpuasa dalam waktu yang lama dan ia boleh dikesan pertama kali hanya ketika Ramadan.

Tambahan pula, Dr Rashdan juga menggalakkan agar pada bulan Ramadan ini, ibu bapa perlu memberi keutamaan untuk melatih anak mereka mengenal ALLAH, mengerjakan solat, berbuat perkara kebajikan, mengenalkan fadhilat ibadah dalam Islam dan tidak berlebihan menyuruh mereka berpuasa di luar kemampuan dalam usia kecil itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram