PEMAIN sayap pasukan kebangsaan, Faisal Halim nampaknya masih buntu menyumbangkan jaringan untuk skuad Selangor FC dalam perlawanan Liga Super musim ini.
Kemelut itu berterusan sehingga ke skuad kebangsaan kerana dia masih belum mendapatkan rentak seperti musim lepas.
Keserasian bersama pasukan The Red Giants belum dapat dicapai. Hal ini dilihat dari sudut jaringan kerana figura yang lebih mesra disapa Mickey itu belum menghasilkan sebarang gol dalam Liga Super.
Oleh itu, rata-rata penyokong membandingkan prestasi penyerang berusia 25 tahun itu dengan beberapa tonggak utama skuad Johor Darul Takzim (JDT) terutama tiga pemain berikut;
1) Akhyar Rashid
Jaringan tunggal Akhyar membuktikan dia masih berbisa dan layak menjadi tonggal utama Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Sebelum ini, Akhyar Rashid turut berdepan nasib sama dalam apabila berdepan kemarau gol pada musim ini. Hal ini kerana pemain lincah ini juga kurang mendapat minit permainan disebabkan saingan sengit dalam pasukan JDT untuk menjadi kesebelasan utama.
Skuad Harimau Selatan mempunyai ramai pemain berbakat dan kehadiran pemain import yang berpengalaman menambahkan lagi saingan di JDT untuk menjadi pemain utama.
Hal ini menyebabkan pemain sayap kiri itu banyak direhatkan di bangku simpanan.
Namun, aksi bertemu Turkmenistan pada 23 Mac telah manamatkan kemarau gol Akhyar Rashid yang mana berjaya menjaringkan gol kemenangan buat skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Walaupun kurang minit bermain bersama JDT, Akhyar tampil menunjukkan dia masih berbisa ketika diberi peluang untuk bermain mewakili negara di bawah kendalian Kim Pan-gon.
2) Corbin Ong
Jurulatih negara sentiasa memberikan kepercayaan kepada Corbin untuk memperkukuhkan kubu skuad Harimau Malaya. — Facebook/JDT
Pemain pertahanan kiri JDT, Corbin Ong nampaknya mencuri tumpuan dengan ketajaman dalam mencetak gol pada aksi perlawanan menentang Negeri Sembilan FC.
Walaupun bermain di bahagian pertahanan, dia mampu menghasilkan beberapa serangan yang berbahaya hingga mampu menjaringkan dua gol.
Selain menjaringkan gol, dia juga kebal dalam mempertahankan kubu JDT. Ini dapat dilihat melalui keputusan skuad Harimau Selatan pada musim ini dengan hanya bolos sekali dalam lima perlawanan.
Pemain berusia 31 tahun itu juga pernah membantu skuad kebangsaan dalam mencetak gol ketika aksi berdepan gergasi Asia iaitu Thailand FC.
3) Arif Aiman
Arif berpeluang menjadi calon Pemain Terbaik Liga musim ini. — Facebook/JDT
Arif Aiman, nama yang tidak asing lagi dalam liga super. Dua kali dinobatkan sebagai pemain terbaik liga. Seorang yang mempunyai kemahiran dalam melakukan gelecekan serta mempunyai kepantasan luar biasa.
Kemampuan pemain berusia 21 tahun itu sangat terserlah sehingga dia selalu menjadi tonggak utama pasukan JDT.
Walaupun banyak saingan dalam skuad Harimau Selatan, namun dia tetap mendapat keyakinan jurulatih JDT untuk beraksi pada musim ini.
Hasilnya Arif Aiman berjaya mencetak tiga gol dalam tiga perlawanan berturut-turut menentang Kuala Lumpur FC, Negeri Sembilan FC, dan Kelantan FC.
Prestasi pemain muda itu masih berbisa dan sekali lagi dianggap menjadi salah seorang calon pemain terbaik liga musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram