ISTANA Kellie atau Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah, Perak mempunyai keindahan reka bentuk yang cantik, namun bukan itu sahaja tarikan yang menarik pengunjung apabila tiupan seruling merdu dapat didengari secara kerap di ruang legar bangunan bersejarah itu.
Pengunjung yang lalu-lalang di hadapan penghibur jalanan lelaki itu akan sering berhenti untuk mendengar sehingga ada yang meletakkan wang sebagai ganjaran di dalam bekas disediakan.
Pemandangan istana Kellie's Castle, Perak.
Pemilik peniup seruling bernama Faiz Azmi itu dikatakan pernah memainkan sehingga 50 buah lagu sehari termasuk lagu Melayu, Inggeris, Cina dan India.
Antara lagu yang pernah dimainkan artis kelahiran Batu Gajah, Perak itu ialah Yesterday Once More (The Carpenters), Derita Cinta (Datuk Jamal Abdillah), Jampi (Hael Husaini) dan banyak lagi.
Faiz yang berusia 42 tahun mula bergelar penghibur jalanan atau 'busker' sejak tahun 2017 di samping mengakui bahawa pekerjaan hakikinya ketika ini ialah seorang peniup seruling.
"Saya akan berada di Kellie's Castle pada musim cuti perayaan serta cuti sekolah dari pukul 10:30 pagi hingga 5:00 petang," katanya.
Sebelum ini, Faiz juga pernah berkecimpung hampir 20 tahun dalam dunia perfileman tanah air dengan menjadi 'stuntman' atau pelakon aksi lagak ngeri.
Ayah kepada lima orang anak itu turut mengatakan, pada hari Sabtu dan Ahad, dia akan menghiburkan pengunjung di sekitar Ipoh dan pernah juga menerima undangan seperti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Lebih menarik lagi, bahan yang digunakan untuk membuat seruling ialah batang paip, gunting atau pisau kecil untuk menebuk lubang serta kertas pasir bagi merapikan kerja-kerja pemotongan paip.
"Nada atau panjang pendek sesebuah seruling bergantung kepada eksperimen sendiri dengan menggunakan aplikasi "tuner" di telefon," katanya.
Paip yang panjang mengeluarkan nada yang besar (bass), namun apabila semakin pendek dan makin nipis, ia akan mengeluarkan bunyi yang nyaring.
Kelebihan seruling yang menggunakan batang paip lebih lasak dan tidak terjejas walaupun cuaca kering atau lembab berbanding seruling buluh.
Seruling buluh juga memerlukan disiplin yang tinggi dalam aspek penjagaan demi menjaga kualiti bunyinya.
Namun, dari sudut perbandingan ton suara, seruling PVC atau buluh sama sahaja kerana perbezaannya adalah bergantung teknik peniupnya yang mampu menghasilkan ton suara yang unik dan tersendiri," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram