Bangkitkan semangat nusantara, 3 karya epik memukau tiada tolok bandingan


  • Hiburan
  • Ahad, 19 Feb 2023

Kisah cinta legenda Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah sering menjadi tarikan penonton.

INDUSTRI hiburan yang sarat dengan pelbagai genre memberikan warna-warni dan pilihan kepada penonton untuk menikmati karya kegemaran masing-masing di layar perak.

Naskhah yang memaparkan plot penceritaan moden atau klasik, kedua-duanya mempunyai pengikut tersendiri. Begitu juga dengan filem epik yang turut memiliki peminatnya tersendiri.

Masakan tidak, karya sebegini mampu menerbitkan rasa cinta kepada budaya dan keaslian jiwa nusantara yang sudah menjadi sebahagian daripada adat resam tempatan.

Justeru berikut Majoriti senaraikan tiga filem tempatan yang memaparkan latar belakang tentang pejuang epik terkenal tanah air.

1) Puteri Gunung Ledang

majoriti2023 (3)

Diarahkan oleh Saw Teong Hin pada tahun 2004, filem ini membariskan personaliti terkenal antaranya Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk M.Nasir, Adlin Aman Ramli, Datuk Rahim Razali, Sabri Yunus dan Sofea Jane.

Filem ini mengangkat tema cerita cinta antara Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah dengan Sultan Melaka. Pelbagai rintangan terpaksa diharungi yang menduga hubungan mereka.

Versi filem itu memaparkan Puteri Gunung Ledang adalah Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah dari Majapahit yang merajuk dan membawa diri ke Gunung Ledang kerana dipaksa berkahwin dengan Putera Demak dari Jawa.

Sultan Mahmud Shah dari Kesultanan Melaka ingin menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai isteri dan telah mengarahkan dua pendekar iaitu Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat ke Gunung Ledang untuk urusan peminangan.

Hang Tuah yang taat kepada raja akhirnya telah berjumpa dengan Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan titah Sultan Mahmud untuk meminang dengan mengemukakan beberapa syarat.

Antara syarat yang diberikan oleh Puteri Gunung Ledang iaitu sebuah jambatan emas dari Gunung Ledang ke Melaka, sebuah jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang yang diisi hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan yang dipenuhi air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda Melaka.

Peminangan itu akhirnya gagal dan Sultan telah mengubah niatnya untuk memperisterikan puteri.

2) Merong Mahawangsa

majoriti2023 (2)

Filem yang arahan Datuk Yusry Abdul Halim yang diterbitkan oleh KRU Studios pada tahun 2011. Dilakonkan oleh Stephen Rahman Hughes, Datuk Rahim Razali, Khir Rahman, Ummi Nazeera, Datin Paduka Umie Aida, Jina Lusi dan Gavin Stenhouse.

Filem adaptasi daripada prosa Hikayat Merong Mahawangsa yang meriwayatkan sejarah terawal kerajaan Kedah.

Menurut hikayat tersebut, Merong ialah seorang pejuang dan pemerintah dari sebuah kerajaan. Beliau menjelajah dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan, tetapi dikatakan lama menetap di Rom.

Selepas meninggalkan Rom dan berdagang di China, Angkatan Raja Merong yang sedang belayar telah diserang oleh seekor burung gergasi legenda yang dikenal sebagai garuda dan beliau lari ke Lembah Bujang iaitu tempat dia membangunkan kerajaan Langakasuka dan menjadi raja.

Sebelum Raja Merong pulang ke Rom, beliau telah menabalkan anaknya, Merong Mahapudisat sebagai raja di Langkasuka.

Raja Phra Ong Mahawangsa merupakan Raja Kedah yang pertama yang memeluk agama Islam. Kerajaan Langkasuka telah ditukarkan kepada Kesultanan Kedah dan baginda telah menukar nama kepada Sultan Mudzafar Shah.

Nama 'Langkasuka' mempunyai dua maksud dalam bahasa Sanskrit iaitu 'Langka' bermaksud 'tanah kebanggaan' manakala 'suka' bermaksud 'gembira' atau keriangan'.

Nasib Merong Mahawangsa tidak diketahui kerana terdapat cerita bahawa dia meninggal ketika dalam perjalanan pulang ke Rom.

3) Hang Tuah

majoriti2023 (1)

Filem ini diarahkan oleh Phani Majmudar telah diterbitkan oleh Malay Film Productions Ltd pada tahun 1956 yang dilakonkan oleh Seniman Agung Negara Tan Sri P. Ramlee, Seniwati Saadiah, Datuk Ahmad Mahmud, Seniwati Zaiton, Haji Mahadi, Daeng Idris dan Yusof Latiff.

Filem yang berasaskan kepada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ialah filem mengenai Hang Tuah yang paling berkesan dan tidak lari daripada cerita asal.

Hang Tuah bersama sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu bertugas dalam menjaga keamanan Melaka.

Hang Tuah merupakan hulubalang yang sangat disayangi oleh Sultan Mansur Syah tetapi pada satu hari Hang Tuah telah difitnah bermukah dengan gundik kesayangan Raja.

Tanpa usul periksa yang kukuh, Sultan Mansur Syah terus menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah. Seri Nara Diraja yang bertanggungjawab dalam menjalankan hukuman bunuh tersebut telah membuat keputusan sendiri yang mana tidak membunuh Hang Tuah malah menyembunyikan Hang Tuah di penjara kerana bagi dirinya kesilapan yang dilakukan oleh Hang Tuah tidak setimpal dihukum bunuh.

Ketika Hang Jebat mengetahui berita bahawa Hang Tuah telah dibunuh, maka Hang Jebat telah membuat kekecohan di dalam istana dan pada saat itu Raja sangat menyesal kerana telah membunuh Hang Tuah.

Titah Sultan Mansur Syah, jika baginda tidak membunuh Hang Tuah, sudah pasti dia dapat melawan Hang Jebat. Seri Nara Diraja pun mengatakan hal sebenar yang mana Hang Tuah sebenarnya masih hidup dan terpaksa menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan Raja.

Taat setia Hang Tuah kepada Sultan Melaka membuatkan dia menentang Hang Jebat yang akhirnya tewas di tangan sahabatnya. Insiden itu ternyata memberi kesan kepada Hang Tuah yang kehilangan sahabatnya, Hang Jebat.

Hang Tuah terkenal kerana pepatahnya yang berbunyi "Takkan Melayu Hilang di Dunia". — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram