Rawatan imunoterapi beri sinar harapan buat pesakit kanser tahap 4


  • Sihat
  • Sabtu, 18 Feb 2023

Memahami rawatan imunoterapi mampu melawan kanser. — Gambar hiasan.

SETIAP tahun, Hari Kanser Sedunia disambut pada 4 Februari. Hal itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai tentang kanser yang boleh datang dalam pelbagai bentuk, mempunyai kesan serta cara rawatan dan pemulihannya.

Satu teknologi baharu yang telah dikenal pasti berkesan dalam merawat kanser iaitu rawatan imunoterapi dan kini berada di Malaysia. Imunoterapi merupakan sebuah rawatan unik yang mana menggunakan sistem imun badan untuk melawan kanser.

Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMVC), Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata, menerangkan bahawa imunoterapi direka untuk melatih sistem imun agar melindungi tubuh manusia daripada sebarang jangkitan dan penyakit, ia juga boleh melindungi tubuh manusia daripada pembentukan kanser.

Namun, kanser masih boleh berlaku apabila sistem imun tidak cukup kuat untuk membunuh sel kanser kerana sel kanser didapati boleh bersembunyi dari sistem imun yang mana ia boleh menyerupai sel normal yang lain.

Rawatan imunoterapi boleh merawat pesakit dengan cara bertindak ke atas sistem imun dan ia merupakan rawatan kanser yang bersifat lebih bersasar, bagi tahap kanser yang lebih ketara, rawatan imunoterapi itu akan dijalankan selama dua tahun dan dipantau rapi daripada doktor pakar.

Ilustrasi-Imunoterapi-02--ISTOCK

Rawatan imunoterapi.Gambar hiasan

Walaupun imunoterapi dilihat sebagai rawatan yang akan memberi sebuah sinar harapan untuk pesakit kanser, Dr Hafizah menjelaskan bahawa tidak semua kanser akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi.

Pada umumnya, pesakit perlu menjalani ujian biomarker sebelum memulakan imunoterapi. Ujian biomarker adalah penanda biologi yang penting dalam membaca kondisi tubuh seperti seperti ujian Programmed death-ligand 1 (PD-L1) perlu dilakukan terhadap spesimen kanser agar pesakit akan mempunyai tindak balas terhadap rawatan.

Imunoterapi boleh digunakan sebagai rawatan untuk pelbagai jenis kanser termasuk kanser paru-paru, kanser kepala dan leher serta kanser hati.

Dalam kenyataannya, Dr Hafizah telah berkongi salah satu pengalaman pesakit kanser kulit yang bertindak balas dengan baik terhadap rawatan imunoterapi itu telah sembuh kerana sebelum ini menggunakan rawatan kemoterapi.

Salah seorang pesakit lelaki yang menghidap kanser kronik tahap empat di bawah rawatan Dr Hafizah semakin pulih sepenuhnya kerana turut menjalani rawatan imunoterapi. Di samping itu, ujian biomarker telah dilakukan dan disahkan sesuai untuk membuat rawatan imunoterapi tersebut.

Sungguhpun begitu, tidak semua penyakit sesuai untuk menjalani imunoterapi dan telah dijelaskan bahawa perlu menjalani ujian biomarker sebelum menentukan kesesuaian rawatan ini.

Namun, seperti rawatan yang lain, imunoterapi juga akan memberikan kesan sampingan seperti pening, jantung berdegup laju,muka bengkak atau masalah pernafasan, antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah cirit-birit, sakit perut yang teruk dan kesukaran bernafas.

Dr Hafizah juga berharap orang ramai mengambil insurans perubatan agar kos rawatan yang tinggi dapat diurus untuk mendapatkan rawatan terbaik apabila disahkan menghidap kanser.

Pesakit juga perlu berunding dengan doktor agar mendapat keputusan yang baik, setiap pesakit mempunyai perjalanan tersendiri untuk bebas daripada kanser. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram