PENYAMPAI radio dan pengacara Muazanazzuddin Mohamed atau lebih dikenali sebagai DJ Muaz tidak menyesal menjadikan aktiviti berbasikal sebagai sebahagian daripada aktiviti mengisi masa lapang.
Jelasnya, meskipun perlu mengeluarkan belanja lebih, namun kepuasan yang diperoleh bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut membantu untuk menjalani amalan gaya hidup sihat.
“Awalnya saya melihat hobi berbasikal ini seperti bermusim, tetapi alhamdulillah sehingga ke hari ini masih ramai lagi yang aktif melakukannya.
“Sejujurnya dahulu saya tidak mempunyai minat langsung untuk terlibat dengan sukan ini kerana beranggapan harganya terlalu mahal dan mustahil untuk melakukannya selain tidak berminat. Cukuplah ketika kecil sudah merasa bermain basikal,” terang kepada Majoriti.
Bagaimanapun, kompas pandangan Muaz, 37, mula beralih arah apabila dia termakan hasutan jiran tetangga sehingga membuatkannya mula berjinak-jinak dengan aktiviti terbabit.
Katanya, aktiviti tersebut mula tercetus ketika negara berdepan dengan virus Covid-19. Bagi membendung penularan wabak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan.
Disebabkan terlalu lama ‘terperam’ di rumah, Muaz tanpa berfikir panjang ikutkan sahaja ajakan jiran, sekali gus bersetuju untuk berbasikal.
“Saya bersetuju sebab melihat ini satu peluang yang menawarkan dimensi baharu selain duduk di rumah dan melakukan tugas hakiki.
“Seronok juga bila ada hobi kerana pengurusan masa lebih sistematik dan terisi dengan aktiviti berfaedah. Tambahan boleh juga mengeratkan hubungan dengan orang lain kerana kami selalu bergerak dalam kumpulan antara lima atau tujuh orang.
"Mungkin ada sahaja melihat hobi ini mahal kerana ada basikal mencecah harga ribuan ringgit. Namun, pada saya itu ikut kemampuan dan keinginan masing-masing,” ujarnya yang meminati sukan terbabit sejak 2020.
Glenmarie menjadi antara lokasi bermain basikal dia bersama rakan-rakan. Apa yang menarik mengenai tempat tersebut, menurut Muaz kerana kekurangan kehadiran kenderaan pacuan empat roda dan motosikal menjadi punca dia bersama yang lain memilih untuk berbasikal di situ.
Kayuan 230km
Terus rancak bercerita tentang minatnya terhadap hobi berbasikal, Muaz sebelum ini pernah membuat kayuhan sejauh 230 kilometer (km).
Memakan masa sekitar lapan jam perjalanan pergi dan balik, Muaz bersama beberapa rakannya berangkat ke Felda Soeharto, Hulu Selangor dari Shah Alam, Selangor.
Pengalaman tersebut seterusnya membuatkan Muaz memilih menjadikan aktiviti sebagai satu kepuasan buatnya.
Kemudian dia memilih untuk mengorak langkah untuk menyertai beberapa kejohanan basikal lain bagi menilai sejauh mana kemampuannya.
“Apabila sudah ada pengalaman pergi sejauh itu (230km), saya mula menyimpan hasrat untuk menyertai berapa kejohanan kayuhan lain seperti di Johor dan Perak.
“Masuk bukan untuk menang, tetapi hanya mahu menilai kemampuan diri sebelum mencecah usia 40 tahun,” katanya seraya ketawa kecil.
Waspada
Pada masa sama, Muaz tidak menolak aktiviti berbasikal juga mampu mengakibatkan kemalangan sehingga meragut nyawa.
Tentu sahaja perkara sebegitu membimbangkan. Muaz turut berkongsi pengalaman melihat salah seorang rakannya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di depan mata.
Baginya setiap apa yang dilakukan memiliki risiko tersendiri dan dia juga menyedari perkara itu kemungkinan berlaku dalam sukan berbasikal.
“Alhamdulillah saya tidak pernah mengalami kemalangan dan berharap perkara itu tidak akan berlaku. Gementar sedikit itu ada, tetapi tidaklah sampai mematahkan semangat untuk terus berbasikal.
“Sekiranya kemalangan itu terlalu teruk, saya tidak akan lihat dan membiarkan orang lain menguruskannya,” katanya.
Muaz turut menasihatkan agar penunggang basikal memberi lebih perhatian kepada kesemalatan sekeliling khususnya ketika ingin menyeberangi atau memasuki persimpangan jalan.
Sebaiknya memberhentikan basikal sebelum ke laluan seterusnya sebagai persediaaan bagi memantau sama ada terhadap kenderaan lain atau tidak.
“Tidak mengira sama ada solo atau berkumpulan, keselamatan itu penting dan jangan ambil mudah. Bukan sahaja melindungi nyawa sendiri, tetapi hormati dan menjaga juga nyawa pengguna jalan raya yang lain,” ujar pengacara rancangan Muzik-Muzik ke-37 itu menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram