BERMULA dengan menggunakan kereta Perodua Kancil sebagai percubaan pertama merasai pengalaman ‘nomad’, siapa sangka ia detik permulaan mendedahkan Asri Nawawi kepada aktiviti campervan.
Tidak lama selepas itu, Asri, 32, kemudiannya berpindah kepada sebuah van mini jenis Daihatsu Hijet. Tidak dinafikan model kenderaan itu antara kegemaran dan idamannya sebelum ini.
“Tanpa pengalaman dalam bidang pertukangan, saya cuba untuk ubah suai luaran dan dalaman van ini sendiri. Semua proses pembuatan sendiri (DIY) dirakam untuk dimuat naik ke YouTube.
“Jika kita lihat, kebanyakan video DIY campervan dibuat oleh orang luar dan kurang kandungan sebegitu bagi warga tempatan. Saya kongsikan semua video berawal dengan pembelian van hinggalah ke siap ubah suai sepenuhnya,” ujarnya kepada Majoriti.
Untuk makluman, campervan merupakan sebuah kenderaan yang ubah suai dengan lengkap memiliki tempat tidur, dapur dan beberapa kelengkapan rumah lain.
Transisi saiz fizikal antara Kancil dan van membolehkan dia untuk meletakkan beberapa barangan lain seperti peti ais, mini kabinet, meja kecil dan ruangan simpan basikal.
“Segala susun atur dalam van nampak ringkas dan masih mengekalkan kerusi penumpang. Mengembara menggunakan van perasaannya lebih seronok apatalh lagi pacuan empat roda ini jenis van mini klasik,” tuturnya dengan penuh teruja.
Fantasi dan realiti
Menyinggah ke laman sosial Instagram miliknya @aceyie_, tidak dinafikan himputan foto yang dimuat naik berjaya menghipnosis minda ke kembara semula jadi. Keasyikan dunia maya yang dikatakan kebanyakannya fantasi tidak buat Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Bang Kenteng.
Jiwa bebas yang dimilikinya membuatkan Asri memilih untuk mengembara merentas dunia dengan caranya tersendiri sekali gus menimba pengalaman di negara orang.
“Saya seorang yang tidak boleh duduk diam. Bukan seorang yang boleh bekerja 8 pagi ke 5 petang. Jadi kesempatan bekerja sendiri ini saya gunakan untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang diminati. Setidaknya saya dapat merasai pelbagai pengalaman yang menarik dengan cara sendiri.
“Saya bersama van ini ke Kanchanaburi, Bangkok, Thailand untuk kembara jalan raya. Tiba di Chiang Mai untuk berkayuh basikal kerana cuaca di sana sejak pada hujung tahun. Kemudian saya kongsikan pengalaman hidup dalam campervan dan berbasikal,” kongsi Asri mengenai perancangannya tentang kandungan yang bakal dimuat naik di YouTube.
Mengimbau semula sejarah pembabitanya terhadap kehidupan ‘bebas’ tanpa sekatan, Asri memberitahu dia dahulu pernah bekerja dalam bidang pelancongan bermula 2010 hingga 2014.
Kemudian dia memilih untuk bekerja sendiri dalam bidang sama sehingga ke hari ini. Baginya bertugas dalam bidang pelancongan tidak terlalu terbeban, apatah lagi tertekan dengan tanggungjawab di pejabat.
Bagai bidalan sambil menyelam minum air, Asri menggunakan waktu membawa pelancong bersiar-siar secara tidak langsung memberi peluangnya ‘berjalan-jalan’.
“Di situ sudah terbiasa bekerja dalam suasana santai, dan waktu sama saya dapat melakukan aktiviti menarik. Tidak terikat dengan sesiapa dan mudah bergerak pada bila-bila masa,” jelasnya.
Asri juga tidak menolak pandemik Covid-19 membuka matanya untuk mengubah haluan kepada dunia alam maya. Mula menjinakkan diri membuat kandungan video di YouTube bagi menampung perbelanjaan.
“Tidak sangka ada hikmah di situ, kerana itulah saya mula dengan video YouTube dan meskipun setelah pandemik berakhir, saya sudah mula rasa selesa menjadi pereka kandungan,” katanya.
Sasaran
Dalam pada asyik bercerita mengenai keterujaannya untuk melakukan aktiviti kembara dengan menggunakan van, Asri memberitahu perkara itu merupakan impiannya sebelum menjangkau usia 30 tahun.
Disebabkan keinginannya yang suka mengembara melihat negara orang, jejaka berasal dari Kroh, Perak itu turut menggunakan ‘statusnya’ untuk mudah bergerak ke sana ke sini.
“Saya sekadar meralisasikan impian untuk hidup dan merasai pengalaman begini, memandangkan status bujang beginilah sesuai untuk tunaikan impian.
“Kembara campervan mempunyai ciri-ciri hidup yang lebih santai, tiada jadual dalam hidup dan ini sesuai dengan diri saya,” ujarnya.
Urus kewangan
Bekerja sendiri tanpa mengharapkan ‘habuan’ pada setiap bulan, Asri kongsikan beberapa tip bagi mengawal pembelajaan agar bajet tidak tersasar.
Nasihatnya, kawal pembelanjaan agar dengan menghadkan aktiviti dan buat keputusan bijak untuk menentukan keutamaan.
“Prinsip saya mudah, kalau duit banyak, banyaklah aktiviti dapat lakukan. Kalau duit sedikit, maka sikitlah aktiviti yang boleh dibuat. Segalanya bergantung kepada bajet yang sebaiknya tentukan mengikut kesesuaian poket.
“Kalau tiada duit saya kayuh basikal dan tidak perlu isi minyak dan tidur dalam khemah termasuk sediakan makanan apa yang ada,” nasihatnya.
Pada masa sama, anak bongsu daripada enam adik beradik itu turut mengakui sudah ‘lelah’ menghabiskan masa bekerja keras pada awal usia remaja dengan melakukan pelbagai pekerjaaan.
Tidak memperincikan tentang hal yang lama, Asri lebih fokus kepada sasaran hidupnya yang mengharapkan agar dapat bekerja secara santai apabila mencapai umur 28 tahun.
“Saya ingin bekerja secara santai dan paling penting inilah waktu untuk saya menghargai diri sendiri bagi merasai pengalaman hidup lebih bermakna.
“Duit boleh cari, pengalaman dan masa tidak dapat dibeli. Tiada masalah hidup secara sederhana, tetapi kaya dengan pengalaman hidup,” tuturnya.
Asri turut menasihatkan agar segala impian bermula dengan mimpi. Disebabkan itu cubalah sedaya upaya untuk ‘menghidupkan’ setiap mimpi dengan penuh yakin termasuk berani mencuba perkara baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram