MENGIKUT maksud Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), liberal membawa erti sifat yang condong kepada kebebasan daripada segi fahaman dan pemerintahan yang bersifat demokratik.
Di laman web itu juga turut menjelaskan mengenai kaum atau orang yang menganut fahaman liberal bersifat pandangan bebas serta terbuka. Tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran iaitu menjadi bebas dan terbuka.
Kata liberal itu juga bukan satu istilah baharu kerana sudah wujud lebih ratusan tahun dahulu.
Difahamkan, kepercayaan liberal mula wujud ketika berlakunya Revolusi Perancis sekitar 1789.
Ketika itu mereka memperjuangkan slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) sekali gus mengurangkan campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi negara.
Tidak dinafikan perkembangan pengaruh ini mampu memesongkan akidah yang dalam masa sama ‘menghalalkan’ perkara mahupun perbuatan bertentangan dengan agama.
Memetik daripada perkongsian video pendakwah Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan mengenai fahaman kononnya Islam liberal itu bererti percaya kepada agama Islam dengan cara melakukan setiap perkara berlandaskan al-Quran dan hadis, namun terima perbuatan atau budaya bertentangan dengan agama.
“Orang ramai boleh terima walaupun al-Quran dan hadis melarang, tetapi kita buat juga kerana meraikan pendapat orang ramai,” jelasnya.
Dalam pada itu Azhar turut memberitahu bahawa penggunaan kata Islam dengan menggelarkan sebagai Islam liberal itu sebenarnya tidak wujud.
Sebaliknya itu hanyalah propaganda bangsa asing yang cuba untuk mengaburi dan mencampuradukkan fahaman bebas dengan agama Islam.
“Cuba siasat siapakah yang mencetuskan istilah Islam liberal ini. Baca buku mereka yang jelas menunjukkan berlakunya penghinaan terhadap ALLAH dan Nabi SAW,” tambahnya.
Sasaran liberal ialah apabila apa yang diharamkan dalam Islam, tetapi dapat diterima oleh masyarakat. Perbuatan itu tidak ubah seperti apa yang wajib ditinggalkan sementara perkara haram pula yang dilakukan.
“Kalau disebelah barat, Kanada, Afrika Selatan dan Eropah, mereka menggunakan istilah liberalisme atau pluralisme. Di Asia Tenggara mereka menambah perkataan Islam di hadapannya kerana ingin mengaburi umat Islam,” katanya.
Melawan golongan liberal
Tangkap layar rakaman video cerawah Azhar Idrus di YouTube.
Keteguhan iman yang berpegang kepada al-Quran dan habis perlu dalam kalangan umat Islam agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dunia.
Azhar menerangkan;” Apa yang batil (tidak benar) tidak akan menang kerana yang menang adalah hak. Hak adalah yang datang daripada ALLAH.”
Nasihatnya, menjaga hubungan dengan ALLAH seperti putus ‘hubungan’ ke masjid untuk beribadah dan mendengar majlis ilmu.
Lakukan perkara berlandaskan al-Quran, hadis dan sunnah kerana dengan izin TUHAN, mereka yang teguh imannya akan ‘menang’ melawan batil.
“Amalkan perkara sunnah kerana kemenangan itu adalah ahli masjid dan bukan dalam kalangan mereka yang lalai seperti kaki judi, mabuk, minum arak dan melakukan seks bebas,” tegasnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram