Elak menu tradisi Sabah ditelan zaman, 'tanak wagu' kongsi resepi di alam maya


  • Hobi
  • Khamis, 24 Nov 2022

Demi memastikan resepi tradisi tidak ketinggalan, Pison sanggup menebual nenek di pasar untuk mendapatkan resepi.

SETIAP makanan memiliki nilai gastronomi tersendiri meliputi elemen sejarah dan budaya sesuatu masyarakat.

Namun, arus globalisasi sedikit sebanyak melenyapkan warisan terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih gemar mengikuti 'trend' budaya popular.

Situasi ini menjadi pencetus inspirasi buat Pison Jaujip untuk berkongsi resepi masakan Sabah di laman media sosial agar resepi-resepi traditional ini tidak ditelan zaman.

Memilih untuk menumpukan pada menu Kadazan Dusun, pemuda Kota Belud, Sabah ini melakukan sendiri proses rakaman dan suntingan video miliknya.

Bermula dengan berkongsi gambar resepi, Pison tukar ke perkongsian video.

Pison menggnakan nama Ropuhan di Tanak Wagu yang bermaksud dapur lelaki bujang (Bachelor’s kitchen) dalam bahasa ibundannya, Dusun sebagai pesona di media sosial.

"Ropuhan di Tanak Wagu bermula pada Jun 2016. Saya bermula dengan berkongsi gambar masakan menggunakan bahan lokal Sabah.

"Sebab pada masa ni saya mahu bagi idea dan bagi orang Sabah sedar bahawa bahan lokal boleh dikomersilkan. Boleh dijadikan bahan memasak dan resepi baharu.

"Bila orang sebut Sabah, selain terkenal dengan makanan laut segar, jumbo size dan murah. Biasanya makanan yang selalu disebut-sebut ialah hinava ikan tengiri (kerabu), ambuyat, ulat sagu, jeruk tuhau, jeruk bambangan, pinarasakan sada bosungan (ikan basung masak ampap), kuih penjaram, kuih cincin, keropok amplang,atau bosou," katanya kepada Majoriti.

Pison mengumpul resepi tradisi dengan bersembang dengan peniaga-peniaga di pasar, selain daripada resepi keluarganya.

Tambah pemuda yang juga usahawan beras, dia perasan bahawa video ataupun post mengenai resepi masakan tradisi Sabah agak susah dicari secara online pada tahun 2016.

Rentetan itu dia mengambil keputusan untuk berkongsi pengetahuan yang dipelajarinya daripada nenek dan ahli keluarga lain kepada masyarakat umum di internet.

"Selain resepi keluarga, saya juga sering tanya cara masak hasil-hasil jualan (seperi sayur kampung, ikan sungai dan banyak lagi) ketika bertemu nenek-nenek yang menjual di pasar minggu atau ‘tamu’.

"Apa saja berkaitan resepi tradisi patut dikumpul daripada golongan ini selagi masih ada kerana jika mereka tiada lagi, ilmu itu ikut hilang bersama.

Pison merupakan usahawan beras tempatan.

"Ilmu-ilmu inilah yang saya kongsikan secara online. Supaya anak-anak muda Sabah dapat mengenali dan memelihara serta memulihara makanan tradisi mereka," jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran berkongsi resepi di internet, Pison mengakui terdapat komen-komen yang sering mengkritiknya, namun dia berlapang dada menerima teguran sekiranya betul pada tempatnya.

"Sabah seperti yang kita tahu bukan daripada satu etnik sahaja tetapi puluhan suku kaum etnik, jadi perbezaan pendapat memang ada.

"Tetapi komen sedemikianlah sangat dialu-alukan kerana melalui komen tersebut saya dapat meluaskan ilmu pengetahuan dalam bidang makanan tradisi," katanya.

Bagi mereka yang mahu berkongsi makanan di media sosial, Pison ada beberapa tips buat pembaca.

Ikan pelian campur bambangan muda.

1. Jangan malu kongsi resepi.

Jangan malu kongsi resepi sebab takut silap atau kena kecam. Setiap orang memiliki cara memasak tersendiri. Dengan berkongsi resepi, kita bukan sahaja menyebarkan ilmu kepada orang, kita juga akan belajar perkara baharu dari komuniti yang memiliki minat sama.

2. Mesti yakin!

Jangan peduli sangat sekiranya kualiti video tak cantik, tak tahu teknik betul ambil video atau tak tahu edit. Kongsikan sahaja sebab perkara itu boleh dipelajari.Tujuan utama adalah kongsi resepi, ilmu yang dikongsikan itu yang penting.

3. Sentiasa update diri

Jangan penah rasa sudah cukup pandai. Tambah ilmu daripada bahagian komen dan pendapat follower, jangan sombong. Be an open book. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram