Pasangan ideal, 4 aktor pernah 'tawan hati' Ogy Ahmad Daud


  • Hiburan
  • Khamis, 17 Nov 2022

Lakonan Ogy Ahmad Daud cukup meninggalkan kesan di hati peminat.

OGY Ahmad Daud atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad Daud antara anak seni yang cukup berbakat dalam negara.

Bukan sahaja dalam dunia lakonan, Ogy juga cukup berbakat dalam cabang seni yang lain seperti pengacaraan dan nyanyian.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam dunia lakonan, anak kepada biduan Datuk Ahmad Daud dan primadona filem Melayu, Datin Saadiah ini memulakan kerjayanya pada 1973 menerusi filem berjudul Hati Batu.

Kemudian, dia terus mengorak langkah dalam dunia lakonan sebelum diangkat menjadi heroin. Berikut Majoriti senaraikan empat hero yang pernah bergandingan dengannya dalam beberapa filem malar segar yang masih diingati ramai:

Ali Setan

Filem ini cukup ikonik dan mendapat tempat di hati penonton sehingga kini. Menerusi filem ini, Ogy bergandingan dengan Allahyarham Azmil Mustapha.

Mula ditayangkan pada 16 Februari 1985, filem ini bergenre romantik komedi arahan pengarah terkenal, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Ketika filem ini ditayangkan, Ogy sudah dikenali sebagai seorang penyanyi manakala Azmil pula masih bergelar pelakon baharu.

Namun, keserasian mereka dalam filem ini yang membuatkan penonton cukup terhibur melihat aksi mereka.

Azura

Filem Azura mula ditayangkan di pawagam 13 Disember 1984 dan telah berjaya menaikkan nama Datuk Jamal Abdillah sebagai pelakon popular.

Watak Azura dan Zack (lakonan Jamal) cukup berbekas dalam kalangan penonton seperti lagu berjudul Azura yang sehingga kini masih didengar.

Filem ini juga walaupun tidak mendapat kutipan yang baik semasa ditayangkan, masih kekal ditonton hingga kini.

Balada

Filem Balada merupakan merupakan sebuah filem yang diterbitkan pada 1993 yang diarahkan Tan Sri Jins Shamsudin.

Menerusi filem ini, Ogy digandingkan dengan penyanyi, pelakon dan pencipta lagu, Datuk M.Nasir.

Bagaimanapun, filem ini tidak mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penonton walaupun mempertaruhkan dua pelakon hebat.

MV5BMTY0ZjE3NTYtZjJlYi00NGE0LTg0NzQtMzdlOWMxY2RlYTNjXkEyXkFqcGdeQXVyNDkyMzMyODM@._V1_

Puteri

Filem Puteri merupakan sebuah karya arahan Datuk Rahim Razali dan ditayangkan pada 1987.

Menariknya, filem ini pertama kali menggandingkan Ogy dengan Eman Manan sebagai pelakon sebelum mereka bercinta.

Tiga tahun selepas filem ini ditayangkan, Eman berkahwin dengan Ogy pada 23 Disember 1990 dan mendapat liputan luas media ketika itu.

Namun, pasangan ini memfailkan perceraian pada 2 Julai 2003. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram