CALON bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sering kali dianggap calon 'underdog' yang tidak mungkin akan menang.
Bertanding untuk Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) tiada yang menganggap calon bebas sebagai saingan utama berbanding dengan individu yang bertanding atas tiket parti.
Namun untuk PRU15, jumlah calon bebas yang bertanding menyaksikan peningkatan yang ketara iaitu seramai 108 calon berbanding 24 orang pada PRU14.
Perkara ini membuktikan timbulnya keyakinan dalam kalangan calon untuk bertanding walaupun tidak mempunyai jentera sehebat mereka yang bersama parti.
Untuk rekod, penyandang Parlimen Batu, Prabakaran pada PRU14 pernah membuat kejutan dengan menang di kerusi tersebut walaupun bertanding atas tiket bebas.
Cuma ketika itu dia mendapat sokongan daripada parti PKR selepas calon mereka, Tian Chua tidak dapat bertanding.
Jadi, tidak mustahil untuk calon bebas menang terutamanya bagi mereka yang sudah dikenali atau mempunyai pengikut sebelum ini.
Berikut Majoriti senaraikan lima calon PRU15 yang bertanding atas tiket bebas dan berkemungkinan boleh menang:
Tian Chua
Bekas ahli veteran PKR, Tian Chua ini kembali ke Parlimen Batu yang disandangnya sebelum ini sejak 2008 hingga 2018.
Namun, Tian Chua bertanding atas tiket bebas kali ini dan akibat tindakannya itu, dia juga telah dipecat daripada parti PKR.
Sudah dikenali oleh penduduk di Parlimen Batu, tidak mustahil Tian Chua boleh menang menerusi sokongan penduduk sebelum ini.
Selain Prabakaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH), turut bertanding ialah Datuk A Kohilan Pillay (BN); Azhar Yahya (PN), P Naganathan (Warisan) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang).
Beberapa calon mencuba nasib atas platform bebas, termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleopatra; peguam, Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.
Wong Tack
Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack bertanding bagi PRU15 sebagai calon bebas dan bukannya bersama DAP.
Dia akan melawan Young Syefura Othman yang mewakili DAP selepas dirinya digugurkan parti tersebut daripada menjadi calon.
Sebagai anak jati Bentong, Wong Tack juga sudah membuktikan kemampuannya sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu dan boleh dijadikan rujukan untuk pengundi.
Selain Young Syefura, Wong Tack akan menentang Bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai; Datuk Roslan Hassan (PN) dan Achik Khalil (bebas).
Uncle Kentang
Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng memilih untuk bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Puchong.
Dirinya bukanlah muka baharu, sebaliknya dia sudah dikenali menerusi jasa dan bantuannya kepada rakyat tanpa mengira kaum.
Aktiviti kebajikan yang sebelum ini dilakukan atas ikhtiarnya sendiri sudah cukup menjadi manifesto untuknya bagi PRU15.
Uncle Kentang akan menentang empat lagi calon lain iaitu penyandang kerusi Parlimen Bakri: Yeo Bee Yin (PH); Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (BN) dan Chew Jyh Gang (PN).
Datuk Mohd Daud Leong (tiga dari kiri)
Bertanding di Parlimen Sepang, Datuk Mohd Daud Leong tampil dengan manifesto yang cukup menarik untuk pengundi memilih dirinya.
Mohd Daud yang mempunyai syarikat guaman sendiri di Shah Alam, Selangor berkata, jika dia menang sebagai Ahli Parlimen, semua gaji selama lima tahun akan didermakan ke dalam tabung untuk membantu rakyat Sepang.
Tawaran tidak mengambil gaji ini bukan cakap kosong kerana dia juga sudah membuat akuan bersumpah di mahkamah pada 25 Oktober lalu.
Mohd Daud akan menentang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sepang, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Naib Ketua Umno Sepang mewakili BN, Anuar Basira.
Selain itu, turut bertanding ialah Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Raj Muni Aiman Athirah; Che Asmah Ibrahim (GTA) dan Datuk Seri Nageswaran Ravi (Parti Rakyat Malaysia).
Datuk Zahidi Zainul Abidin
Mahu mempertahankan kerusi Padang Besar sejak 2013, kemungkinan untuk Datuk Zahidi Zainul Abidin terus kekal di kerusi itu mungkin ada.
Walaupun tidak lagi bersama BN, namun rakyat di kawasannya sudah cukup kenal dengan pemimpin itu.
Malah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga mempunyai pengikut yang setia bersamanya.
Zahidi bakal bersaing lima penjuru dengan tentangan daripada calon BN, Datuk Zahida Zarik Khan; Datuk Rushdan Rusmi (PN), Mohamad Saad @ Yahya (PH) dan Ko Chu Liang (Warisan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram