'Sepsis si pembunuh senyap', penyakit keracunan darah usah dipandang ringan


  • Sihat
  • Ahad, 30 Okt 2022

Sepsis ialah komplikasi daripada jangkitan atau kecederaan yang berpotensi mengancam nyawa. — Gambar Agensi

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang kurang peka dengan penyakit sepsis kerana ia memang sejenis penyakit yang jarang didengar namun kerap berlaku di seluruh dunia.

Sepsis merupakan masalah kesihatan yang serius dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Sepsis terjadi apabila sistem pertahanan badan atau sistem imun badan melawan sesuatu jangkitan dan dalam proses melawan jangkitan itu daripada merebak, ia telah mengakibatkan kecederaan kepada tisu dan organ badan manusia.

Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Dr. Atiqah Shazwani Ahad berkata, sepsis (septicaemia) atau keracunan darah berlaku disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan yang sangat serius sehingga badan menghasilkan bahan kimia berlebihan ke dalam saluran darah bagi melawan jangkitan yang telah menyerang sistem pertahanan badan.

WhatsApp Image 2022-10-29 at 13.28.09

Atiqah Shazwani berkata, sepsis boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan jantina.

"Bahan kimia yang dihasilkan oleh tubuh badan ini boleh menyebabkan keradangan yang boleh merosakkan dan paling teruk menggagalkan fungsi organ lain sehingga boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

"Selain itu, sistem imunisasi manusia akan bertindak sekiranya diserang jangkitan kuman. Sekiranya jangkitan kuman terus merebak, ia boleh menyebabkan sepsis. Jangkitan kuman yang paling kerap berlaku ialah daripada bakteria, virus seperti Covid-19 atau influenza.

"Menurut statistik yang pernah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sepsis dihidapi oleh 49 juta individu dan menyebabkan 11 juta kematian di seluruh dunia pada setiap tahun," katanya kepada Majoriti.

Jelas Atiqah yang juga merupakan Ketua Unit Sukarelawan MyHeart Association, sepsis boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan jantina.

119029263_2739183546371500_7022059541494016680_n

Tanda-tanda awal sepsis. — Gambar Facebook/PublicHealthMalaysia

"Terdapat beberapa risiko yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit ini antaranya ialah bayi berumur bawah 12 bulan, wanita yang hamil dan baru melahirkan, warga emas yang berumur 65 tahun ke atas dan individu yang mempunyai sistem imunisasi badan lemah.

"Di samping itu, pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, sakit buah pinggang , kanser dan virus kurang imun manusia (HIV) juga berisiko mengalami sepsis," katanya.

Pada masa sama, Atiqah turut berkongsi lima tip untuk menangani sepsis :

1. Amalkan gaya hidup sihat

Kerap bersukan dan mengambil makanan yang sihat dan berkhasiat untuk menguatkan sistem imunisasi badan. Berhenti merokok dan jangan mengambil minuman alkohol secara berlebihan.

2.Amalkan kebersihan yang optimum

Kerap cuci tangan dengan sabun dan pastikan luka anda bersih dan dibalut dengan sebaik mungkin untuk mengelakkan jangkitan kuman.

3. Elakkan terkena jangkitan kuman

Sekiranya anda rasa kurang sihat, sila berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan dan pengambilan vaksin bagi menguatkan sistem imunisasi badan adalah amat digalakkan.

4. Kenal pasti tanda dan gejala penyakit sepsis

Jangan tunda dan berlengah sekiranya anda atau orang di sekeliling kelihatan sangat lemah, tenat dan sakit.

5. Tindakan awal dan pantas

Sepsis adalah penyakit yang sangat bahaya dan perlu untuk mendapat rawatan pantas. Sekiranya anda atau orang yang tersayang kurang sihat. Sila dapatkan rawatan dengan kadar segera. Tindakan awal ini mampu mencegah daripada menghidap sepsis dan mengurangkan risiko jangkitan kuman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram