Awas lelaki! Waspada 8 simptom kanser payudara


  • Sihat
  • Ahad, 23 Okt 2022

Dianggarkan kurang daripada satu peratus kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki. — Gambar hiasan

SECARA umumnya, kita mengetahui kanser payudara merupakan antara barah yang paling kerap berlaku kepada wanita, tetapi kebarangkalian untuk penyakit tersebut belaku pada lelaki juga tetap ada.

Golongan lelaki juga seharusnya diingatkan supaya tidak memandang remeh penyakit kanser payudara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu.

Doktor Residen, Klinik Khalifah Vista Bangi, Dr Muhammad Taufik Ibrahim berkata, setiap lelaki masih mempunyai risiko menghidapi penyakit itu walaupun peratusannya amatlah rendah.

Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ujar beliau, kebarangkalian kanser payudara pada seorang lelaki adalah kurang daripada satu peratus.

"Namun, mereka tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut kerana jika terdapat simptom-simptom seperti ketulan di dada ataupun ketiak, mereka haruslah segera mendapatkan pemeriksaan.

"Jangan membiarkan keadaan tersebut menjadi lebih teruk sebelum berjumpa dangan doktor," katanya pada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 15.37.29

Dr. Taufik berkata, golongan lelaki tidak boleh memandang remeh penyakit kanser payudara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu.

Tambah Taufik lagi, kanser payudara berpunca daripada sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang secara tidak terkawal.

"Pada masa sama, pesakit lelaki yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara dalam kalangan adik beradik perempuan mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghadapi penyakit ini.

"Antara faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan lelaki ialah kerap terdedah kepada sinaran radiasi, pengambilan estrogen, kesan pengambilan ubat hormon (gynecomastia) dan sirosis hati," jelasnya.

Berikut lapan tanda kanser payudara lelaki:

1. Ketulan pada dada

2. Sakit pada puting

3. Ketulan pada ketiak

4. Puting masuk ke dalam

5. Cecair daripada puting

6. Radang pada bahagian puting

7. Perubahan pada kulit di dada

8. Perubahan dari segi saiz dan bentuk buah dada

ljubaphoto/Getty Images

Seperti wanita, lelaki juga perlu menjalani ujian saringan awal bagi mengesan kanser payudara.

Jelas Taufik, adalah sangat penting untuk mengesan penyakit itu pada peringkat awal.

"Saya sangat menyarankan mereka untuk membuat pemeriksaan payudara berkala seperti mammogram, ultrasound dan pengambilan sampel biopsi.

"Ujian saringan awal perlu dilakukan jika mereka mempunyai simptom kanser payudara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram