BEKAS atlet renang para negara, Koh Lee Peng masih tetap dengan pendirian untuk berdiri atas kaki sendiri demi menyara kehidupannya selepas bersara dari arena sukan.
Malah Bekas Olahragawati Paralimpik 2016 itu juga menolak untuk menjadi jurulatih paralimpik negara.
"Saya tak rasa dapat jadi tenaga pengajar dengan kekurangan begini. Kalau budak tenggelam (lemas), kami sama-sama OKU jadi macam mana saya mahu selamatkan dia. Bukan semua tempat ada lifeguard.
"Budak sekarang pun bukan senang nak latih, walaupun sesama OKU, mungkin mereka ada perangai yang saya tak dapat handle," katanya kepada Majoriti.
Lee Peng ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet hasil kerjasama Majoriti dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
Lian Ker (kiri) melihat hasil kraf tangan yang dijahit oleh Lee Peng untuk menyara hidupnya.
Selain Lee Peng, bekas atlet bola tampar, Rohana Dewa turut menerima sumbangan RM2,500 setiap seorang tajaan Venthill Group (VH Group) dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Wong.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.
Sementara itu, Lee Peng yang menghidap celebral palsy sejak kecil berkata, dia selesa mencari rezeki dengan menjual barangan kraf seperi beg tisu, aksesori buatan tangan dan penyegar udara kereta di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
"Saya jahit sendiri barangan kraf ini...dulu saya belajar menjahit ketika di sekolah Orang Kurang Upaya di Pulau Pinang.
"Cuma saya terpaksa pakai jersi kebangsaan kerana ada orang kata saya warga asing, walhal saya orang Malaysia dan saya jual barang, bukan minta sedekah," katanya.
Lee Peng (kiri) dan Rohana antara empat bekas atlet kebangsaan yang menerima sumbangan VH Group.
Ditanya mengenai barangan jualannya, Lee Peng memberitahu, dia boleh menghasilkan sehingga 20 beg tisu pelbagai saiz setiap hari yang dijual pada harga bermula RM37.
"Ada hari saya tak dapat menjahit kerana masalah kesihatan. Jadi kalau tak sihat, saya tak dapat keluar mencari rezeki, tapi kalau sihat, hujan atau panas pun saya tak kisah," katanya yang bergerak menggunakan kerusi roda.
Lee Peng bagaimanapun berterima kasih atas keprihatinan yang diberikan kerajaan dan Yakeb, namun baginya, kehidupan harus tetap diteruskan tanpa terlalu mengharapkan ihsan orang.
Sebelum ini, media melaporkan pelbagai usaha dibuat bagi membantu Lee Peng namun bekas atlet itu tetap menolak bantuan diterima.
Pemenang tujuh pingat emas Sukan Para ASEAN (APG) itu tetap tidak berganjak daripada pendiriannya yang lebih selesa berdikari menjalankan perniagaannya di Bukit Bintang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram