SIAR: Filem dan lagu sama-sama berhantu, jadi ingatan hingga kini


  • Hiburan
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Awie dan Erra banyak berlakon dalam filem yang memiliki runut bunyi malar segar hingga kini.

KEJAYAAN sesebuah filem sebenarnya bukan sahaja terletak pada kekuatan cerita mahupun bintang pelakon yang ditampilkan.

Sebaliknya, runut bunyi sesebuah filem juga antara yang memainkan peranan utama untuk menjadikan sesebuah filem itu menjadi fenomena dan malar segar hingga kini.

Resipi itu bukan perkara baharu dan sebenarnya sudah digunakan industri perfileman negara sejak zaman Allahyarham Tan Sri P.Ramlee lagi.

Selain itu, ada juga lagu yang menggunakan judul filem sebagai lagu tema dan kekal menemani pendengar sehingga kini.

Berikut, Majoriti senaraikan lima judul filem yang masih ditonton dan lagu temanya kekal diingati hingga kini.

Bara

Bara merupakan filem yang menampilkan pelakon seperti Datuk Awie, Nasha Aziz, Datuk Rosyam Nor dan Zamani Slam.

Filem ini adalah arahan dan terbitan Datuk Yusof Haslam yang ditayangkan pada 1999 dan mendapat kutipan sebanyak RM2.3 juta.

Lagu Bara dalam filem ini didendangkan Awie dan masih menjadi pilihan pendengar sehingga kini.

Maria Mariana

Siapa yang tidak tahu dengan filem Maria Mariana yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

Ditayangkan pada 1996, filem ini menampilkan lakonan mantap gandingan Erra Fazira dan Ziana Zain.

Filem ini juga dilagukan menerusi judul Maria Mariana yang dinyanyikan oleh Zamani Slam dan menjadi sebahagian daripada lagu popular kumpulan itu.

Isabella-Image (1)

Isabella

Perkara pertama yang terlintas dalam kepala bila menyebut Isabella adalah kumpulan rock legenda, Search yang menyanyikan lagu itu.

Lagu Isabella sangat berhantu bukan sahaja dalam kalangan peminat rock tempatan, tetapi juga di Indonesia.

Sambutan hebat lagu itu di seberang membuatkan munculnya filem Isabella yang diarahkan oleh Marwan Alkatiri (pengarah Indonesia) dan ditayangkan di Indonesia pada 1990.

Darah Satria

Filem Darah Satria, arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan dilakonkan A. R. Badul masih kekal menjadi tontonan sehingga kini.

Menariknya, lagu tema filem itu yang menggunakan judul sama memberi pengaruh yang sangat kuat khususnya dalam dunia ketenteraan negara.

Lagu tema filem yang ditayangkan pada 1983 itu kini menjadi sebahagian daripada lagu semangat yang dilaungkan perwira negara.

Sembilu-poster

Sembilu

Lagu Sembilu merupakan lagu tema yang didendangkan ratu rock negara, Ella dan masih kekal menjadi pilihan pendengar hingga kini.

Selain lagunya yang malar segar hingga kini, filem Sembilu arahan Yusof Haslam juga mencatat sejarah dengan catatan kutipan pecah panggung sebanyak RM4.39 juta.

Filem yang ditayangkan pada 1994 itu menampilkan gandingan pelakon Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram