MAJORITI belia nampaknya begitu teruja untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi hasil dapatan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), sebanyak 75 peratus mahasiswa dari seluruh Malaysia yang akan turun mengundi dan bersedia untuk turun mengundi.
Presidennya, Muhammad Wafiq Azman berkata, hal ini mungkin disebabkan faktor institut pengajian tinggi diberi peluang bercuti selama lima hari, selain status mahasiswa terbabit yang baru kali pertama mengundi.
Namun, apa yang menjadi kebimbangan adalah kebanyakan mahasiswa masih di atas pagar kerana belum membuat keputusan tentang parti yang bakal disokong.
"Kami pun ada buat survey (kajian) tentang sejauh mana mereka menyokong parti-parti yang ada.
"Kebanyakannya memberi jawapan neutral, yang mana mereka belum lagi memberi jawapan sama ada menolak atau tidak menolak (parti-parti yang wujud)," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Wafiq
Justeru, Muhammad Wafiq tidak menafikan bahawa kebanyakan anak muda akan turun mengundi, namun mereka masih tidak jelas tentang proses pilihan raya dijalankan termasuk cara-cara mengundi dan parti pilihan.
Katanya, perkara tersebut merupakan kebimbangan terbesar berbanding sama ada anak muda turun mengundi ataupun tidak.
"Oleh itu, media massa dan media baharu sepatutnya memberi pendedahan serta penerangan tentang proses pilihan raya formal kepada mahasiswa dan anak muda," ujarnya.
Kekangan
Hasil kajian Pembina juga mendapati, kira-kira 30 peratus mahasiswa mempunyai kekangan dari segi logistik dan kewangan untuk turun mengundi.
Justeru, Muhammad Wafiq mencadangkan bahawa, pihak universiti perlu menyediakan kenderaan seperti bas kepada mahasiswa untuk pulang ke kampung halaman.
"Buat soal selidik, siapa ada kekangan. Ini sama seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dilaksanakan dahulu, yang mengekang orang ramai merentas negeri dan daerah.
"Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu melaksanakan undi pos, iaitu satu perkara yang boleh mengurangkan kos ketika keluar mengundi.
"IPT juga boleh dijadikan pusat mengundi yang sebenarnya sangat sesuai untuk mereka turun beramai-ramai untuk undi pos.
"Malah, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) juga perlu mempunyai inisiatif di bawah pendidikan, dengan memberi subsidi kepada mahasiswa untuk mereka turun mengundi di kampung halaman," ujarnya.
1.14 juta orang yang tergolong dalam pengundi berusia 18 tahun layak mengundi.
Pelaksanaan Undi 18 menyaksikan seramai 1.14 juta orang yang tergolong dalam pengundi 18 tahun layak mengundi.
Ini sekali gus menjadikan jumlah pengundi bagi PRU15 kali ini seramai 21.1 juta.
Daripada jumlah itu, 1.4 juta pemilih adalah golongan baharu pada tahun ini. Pengundi belia yang berusia 18 hingga 40 tahun dianggarkan seramai 12.2 juta atau 58 peratus daripada jumlah pengundi.
SPR menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram