Disebut jadi calon PRU15, Lian Ker mahu beri laluan kepada orang muda


  • Politik
  • Jumaat, 28 Okt 2022

PRU15 menyaksikan undian daripada golongan muda seawal usia 18 tahun.

NAIB Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Beliau yang sebelum ini disebut akan dicalonkan di Kuantan, Pahang, menolak untuk bertanding pada PRU15, sebaliknya mahu memberi laluan kepada calon muda menjadi pemimpin.

"Semua boleh jadi pemimpin tetapi saya mahu beri peluang kepada mereka (orang muda). Saya sendiri diberi peluang jadi wakil rakyat ketika umur 32 tahun.

"Sekarang saya pun dah 60 tahun, saya mahu belia 30-an diberi peluang kerana mereka mempunyai perjalanan yang lebih jauh.

"Walaupun saya tidak akan bertanding kerana mahu memberi laluan kepada orang yang lebih muda, saya akan teruskan peranan sebagai senator," katanya kepada Majoriti.

Majlis penyampaian sumbangan kepada 2 bekas atlet negara sempena sambutan ulang tahun pertama Majoriti dengan kerjasama YAKEB dan VH Group dihadiri Datuk Seri Ti Lian Ker di Wisma MCA Jalan Ampang pada 28 Oktober.-AZMAN GHANI/The Star

Lian Ker berkata, beliau sendiri diberi peluang jadi wakil rakyat ketika umur 32 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan MCA menetapkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi pemimpin tertingginya buat peringkat awal.

Menerusi laporan itu, Lian Ker dijangka dicalonkan di Kuantan, dengan syarat Umno merestui MCA bertanding di situ.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata, tidak timbul sebarang pertikaian berhubung siapa pun yang bakal dicalonkan di situ kerana asasnya adalah untuk berkhidmat kembali ke rakyat.

"Sememangnya kerusi Kuantan itu adalah kerusi Barisan Nasional (BN). Jadi kalau Umno ke MCA (komponen BN) ada calon lain, saya tiada hal kerana nawaitu dan niat kita adalah berkhidmat demi rakyat dan negara.

"Tidak semestinya kita bercakaran semata-mata nak jadi calon, the thing kita perlu ambil peluang PRU ini ialah untuk mengembalikan kestabilan politik yang pernah kita nikmati sebelum ini," katanya lagi.

1795195

Tambah beliau, rakyat pun sudah muak dengan permainan politik, jadi soal siapa calon di kerusi Parlimen itu tidak penting.

"Yang penting kerajaan perlulah diperkasa dan diberi mandat lebih tinggi supaya kerajaan boleh membuat keputusan yang baik demi rakyat dan bukan keputusan yang berlandaskan fisibiliti (kebolehlaksanaan) dan permintaan politik.

"Sekarang ni banyak mainan politik yang menyaksikan keputusan banyak dibuat atas pertimbangan politik bukan landasan pertimbangan rakyat mahupun negara atau masa depan negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram