'Jangan sampai hilang sayang,' Faisal lukakan nadi Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Penyokong Sang Penyu melihat luahan dan pendedahan Faisal mengguris hati pelbagai pihak. — Facebook/Terengganu FC

MASA depan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya terjawab selepas pihak pengurusan pasukan akhirnya memilih untuk menawarkan kontrak lanjutan kepadanya Selasa lalu.

Perkara itu pastinya mendatangkan sedikit kelegaan kepada penyokong Sang Penyu, lebih-lebih lagi apabila mereka berpendapat jurulatih itu ialah calon terbaik untuk mengemudi mereka musim depan.

Kejayaan untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2023 dilihat sebagai satu ujian kepada skuad tersebut selepas mengalami satu musim yang cemerlang.

Bagaimanapun, keputusan ketika ini terletak di tangan anak jati Kelantan tersebut apabila dia diberi tempoh selama 14 hari untuk memberi kata putus mengenai nasibnya.

Setakat ini, tiada kenyataan daripada Nafuzi akan perkara itu apabila dia sedang memberi perhatian penuh ke arah kempen Piala Malaysia dengan pasukannya baru sahaja meraih kemenangan ketika bertemu Sri Pahang FC.

Tetapi, pada Khamis, penyerang Terengganu FC, Faisal Halim bertindak membela nasib ketua jurulatihnya itu yang berpendapat tindakan pihak pengurusan adalah terlalu lewat.

"Kita sudah bermain sepanjang musim, takkanlah sebulan sebelum tamat kontrak, baru nak buat keputusan. Itu tidak masuk akal sebenarnya untuk saya," katanya.

Faisal-Terengganu

Faisal Halim dikaitkan dengan penghijrahan keluar daripada Terengganu FC. Facebook/Terengganu FC

Pemain itu turut meluahkan kekecewaannya dengan berasakan pemergian Nafuzi bakal merobohkan hubungan antara mereka yang sudah dibina sejak beberapa musim lalu.

Luahan Faisal itu seakan-akan cuba membela nasib jurulatihnya itu berikutan kejayaan untuk membangunkan sebuah pasukan yang konsisten dan lengkap dalam Liga Super.

Namun, perkara berbeza pula berlaku apabila ruangan media sosial penyokong Terengganu FC dipenuhi cemuhan dan kritikan ke atas pemain sayap licik itu.

Seorang penyokong, Azra Izua berkata, pendekatan Faisal untuk memberi komen ke atas situasi itu dilihat tidak profesional serta terbuka untuk melihat pemergian kedua-dua pihak.

"Masuk cara baik dan keluarlah dengan cara yang baik, barulah nampak profesional. Tak salah jika dapat tawaran bagus dan pergi kerana itu pasti rezeki awak, pilihlah yang terbaik.

"Cuma, janganlah jadikan orang lain kambing hitam, janganlah tuding jari kepada orang lain. Jangan hilangkan perasaan kasih sayang kami kepada awak," katanya.

Perkara itu menerima sokongan penyokong-penyokong lain dengan Yusaini Ahmad berpendapat luahan yang dibuat pemain berjersi no. 7 itu mengundang lebih banyak masalah.

"Tak matang dalam memberikan komen dan saya percaya pemain dan staf kejurulatihan perlu tahu cara berkomunikasi untuk menjaga hati semua pihak," katanya.

Pak Awang turut melihat perkara yang disampaikan Faisal mengguris hati kebanyakan pihak dengan penyokong tidak terkecuali terkesan dengan hal tersebut.

"Apakah dia sedar apa yang diucapkan itu? Banyak hati yang terluka kerana lidah dan nasihat aku adalah kita perlu berhati-hati ketika berbicara. Selamat maju jaya," katanya.

Khabar angin sebelum ini mengaitkan Nafuzi dengan beberapa pasukan Liga Malaysia dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kelantan FC dikatakan sebagai antara destinasi sesuai.

Di samping itu, Faisal juga dikatakan bakal berhijrah selepas hampir dua musim berbakti bersama pasukan Pantai Timur itu dengan Selangor FC difahamkan berminat untuk membawanya masuk jendela perpindahan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram