Bukan sahaja hebat di layar seni, Ebby Yus antara 5 pelakon lincah di medan silat


  • Hiburan
  • Khamis, 13 Okt 2022

Adi Putra (dua dari kiri) cukup terkenal dengan wataknya sebagai Mat Kilau.

SAMBUTAN tinggi filem epik biografi tempatan, Mat Kilau sebenarnya memberikan satu maksud bahawa filem atau karya berunsurkan silat sebenarnya sangat ditagih peminat hiburan tempatan.

Kekurangan filem atau drama epik berunsurkan persilatan yang dianggap tidak mampu memenuhi minat penonton sebenarnya bukan satu alasan.

Ini kerana Korea Selatan sudah membuktikan bahawa filem dan drama epik mereka masih menjadi tumpuan penonton seluruh dunia sekali gus menyemarakkan lagi budaya mereka ke peringkat antarabangsa.

Pada era 90an, industri seni tempatan pernah dimeriahkan dengan karya epik seperti drama Keris Hitam Bersepuh Emas dan Pendekar Kundur.

Malah, pada zaman filem hitam putih juga, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee banyak menyelitkan unsur persilatan dalam karyanya.

Kegemilangan filem dan drama epik tempatan perlu dikembalikan dan kerajaan menerusi agensinya perlu membantu termasuk daripada segi dana untuk karya-karya ini.

Pemilihan pelakon? Jangan risau. Negara mempunyai banyak penggiat seni yang mahir bersilat.

Berikut Majoriti senaraikan lima pelakon tempatan yang cukup mahir dalam dunia silat.

Eman Manan

Memiliki wajah yang garang dan personaliti yang sentiasa serius, Eman Manan merupakan pelakon yang cukup berbakat hingga tercalon lapan kali sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan menang tiga daripadanya.

Selain bakat lakonan, Eman Manan juga sangat dikenali sebagai pelakon berjiwa seni yang tinggi dan mempunyai kemahiran dalam dunia persilatan.

Eman Manan banyak melakonkan adegan silat antaranya filem Matinya Seorang Patriot (1984) dan Syahadat (1992) yang menampilkan aksi silat tempur menggunakan parang bersama seorang lagi pelakon, Yusof Wahab.

Adi-P-e1658371692997

Adi Putra

Tampil dengan watak Mat Kilau, ramai yang memuji lakonan Datuk Adi Putra yang ditambah pula dengan elemen silat yang ditampilkan dalam filem itu.

Sebenarnya, Adi mengakui melakonkan adegan persilatan bukan mudah kerana dia sendiri terpaksa menahan azab sakit untuk melakonkan babak persilatan setiap hari.

Adi juga mengakui yang dia sebelum ini pernah mendalami ilmu seni silat kalimah di Jawa, Indonesia.

Ebby Yus

Kita sering melihat Ebby Yus sebagai seorang pelakon humor dengan dialog yang menggelikan hati.

Tetapi, Ebby Yus sebenarnya mempunyai kemahiran tinggi dalam dunia persilatan dan sehingga kini, masih tular videonya mempamerkan aksi silat yang membuatkan warganet terpegun.

Banyak filem berunsurkan silat pernah dilakonkan antaranya filem Tuah yang menampilkan kelincahan Ebby Yus bersilat.

pnews.space-22faec9d08dce91c3efbc16a5623a424

Fattah Amin

Sebagai antara pelakon generasi muda, Fattah Amin juga turut menyinar dalam filem Mat Kilau menerusi aksi persilatannya.

Fattah sudah terlibat dalam dunia silat sejak kecil lagi dan perkara itu turut diakui Persatuan Silat Gayung Fatani Masjid Amru Ibni Al’as Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Mengangkat silat Gayung Fatani, Fattah juga merupakan bekas pesilat Kuala Lumpur selain pernah menyertai kejohanan silat kebangsaan pada 2010.

p-ramleebefunky-collage

P. Ramlee

Semestinya, seniman agung, P. Ramlee antara individu yang banyak mengangkat silat dalam karyanya walaupun ada yang bergenre humor.

Seorang daripada guru silat P. Ramlee ialah Haji Basari seorang guru silat dan imam masjid di Ellis Road, Singapura.

P.Ramlee menuntut ilmu dengan Haji Basari untuk mendapatkan penghayatan lakonan dalam filemnya yang berjudul Musang Berjanggut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram