100 anggota polis sujud minta maaf atas tragedi Kanjuruhan


  • Benua
  • Rabu, 12 Okt 2022

Tangkap layar video 100 orang anggota Polis Malang Kota, Indonesia melakukan sujud sebagai bentuk permohonan maaf atas kematian 131 mangsa. — Agensi

SERAMAI 100 orang anggota Polis Malang Kota, Indonesia melakukan sujud sebagai tanda permohonan maaf atas kematian 131 mangsa dalam tragedi di Stadium Kanjuruhan, Indonesia pada 1 Oktober lalu, lapor Kompas.com.

Menurut pakar psikologi forensik dan pemerhati polis, Reza Indragiri Amriel berkata, tindakan polis Malang Kota yang sujud itu diharap dapat meyakinkan orang ramai bahawa mereka ikhlas meminta maaf ke atas tragedi yang berlaku sebelum ini.

Reza berkata, tindakan Polis Malang Kota itu adalah sama dengan tindakan maaf yang dilakukan pasukan polis di Amerika Syarikat (AS) yang melutut sebagai tanda maaf atas kematian seorang warga tempatan yang berkulit gelap, George Floyd pada 25 Mei 2020.

Menurut Reza, permohonan maaf itu amat penting sebagai satu simbolik tanda kekesalan kepada orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian terbabit.

“Perkara ini tidak seperti perbuatan jenayah yang mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk diselesaikan. Kesedihan rakyat pasti akan berlaku dalam tempoh yang lama,” katanya.

Reza juga berharap Polis Negara bukan sahaja memohon maaf malah memperbaiki diri agar serius melakukan perubahan dalaman.

“Ia sudah lama tidak berlaku selama beberapa dekad dan terjadi sekali lagi sejak kebelakangan ini.

"Bagaimanakah pembaharuan itu akan dilakukan?" soalnya lagi.

Ketua Polis Malang Kota, Komisioner Besar (Kombes) Budi Hermanto, bersama anggota polis yang lain bersujud pada himpunan pagi di perkarangan Balai Polis Kota Malang, Indonesia pada Isnin.

Menurut Budi, tindakan melutut dan sujud itu dilakukan bagi memohon keampunan kepada tuhan.

Tambahnya lagi, tindakan itu juga sebagai bentuk permohonan maaf kepada mangsa tragedi Kanjuruhan dan keluarga mereka.

Bukan hanya sujud, Budi bersama anggota polis yang lain termasuk Petugas Utama turut berselawat dalam perhimpunan itu.

“Kami mendoakan agar saudara-saudari kita Aremania dan Aremanita yang menjadi mangsa tragedi Kanjuruhan diterima di sisi-Nya dan keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan.

"Kita juga sama-sama memohon keampunan Allah SWT agar kejadian ini tidak berulang lagi,” jelasnya.

Dia turut berharap agar keamanan dan kelakuan maysarakat di Malang boleh kembali normal.

“Kami juga berharap agar situasi kembali normal dan persoalan mengenai tragedi Kanjuruhan segera diselesaikan,” ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram