DUN Perak belum bubar, tunggu pertimbangan Sultan Nazrin


  • Politik
  • Rabu, 12 Okt 2022

Saarani berkata, perkara itu dititahkan Baginda pada sesi sembah menghadap yang berlangsung di Istana Kinta, pada Rabu. — Astro Awani

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak masih belum dibubarkan sementara menanti pertimbangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, terhadap permohonan pembubaran yang dipersembahkan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, hasrat berkaitan pembubaran DUN dipersembahkan kepada Baginda dalam sesi menghadap pada Rabu.

"Tadi saya serahkan warkah permohonan pembubaran DUN ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

"Pada sesi itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa Baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya.

"Oleh yang demikian, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumum selepas Tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Saarani berkata ketika menghadap, beliau turut menyembah maklum mengenai syor Perdana Menteri supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi pembubaran DUN, untuk membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak.

Beliau berkata, kuasa untuk membubarkan DUN adalah di bawah kuasa Sultan Perak dan perjalanan serta pentadbiran kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa, sehingga Baginda membuat pertimbangan.

Tanpa meletakkan jangkaan masa atau tarikh bagi Sultan Nazrin mencapai keputusan, Saarani berkata: "Ia bergantung kepada kebijaksanaan Tuanku.”

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram