Pernah mengarah P. Ramlee, ketahui fakta di sebalik 5 filem arahan Jins Shamsuddin


  • Hiburan
  • Khamis, 22 Sep 2022

Selain P.Ramlee, Jins Shamsuddin merupakan pengarah yang banyak menghasilkan karya yang masih dikenang hingga kini.

SELEPAS pemergian seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ada seorang lagi individu yang cukup berbakat dan banyak menyumbang dalam industri perfileman negara.

Individu itu adalah seniman legenda, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin.

Jins Shamsuddin mula dikenali sebagai pelakon menerusi watak Suria Kencana dalam filem Panca Delima sehingga ada menggelarnya James Bond of Asia.

Selain berlakon, Jins juga antara individu yang terkenal dalam dunia pengarahan filem dan menghasilkan banyak karya malar segar hingga kini.

Berikut adalah lima fakta berkaitan filem arahan Jins. Jangan lupa tonton.

Sedutan filem Menanti Hari Esok. — Facebook/Siar

Menanti Hari Esok

Selain dibintangi pelakon, Noorkumalasari, filem yang diterbitkan pada 1977 ini mempunyai catatan sejarah tersendiri.

Filem ini ditayangkan hampir dua bulan di Panggung Coliseum, Kuala Lumpur selepas filem Penarik Beca yang ditayangkan selama sebulan.

Menelan belanja sebanyak RM200,000, filem ini juga mencatatkan rekod pecah panggung dengan kutipan melebihi RM1 juta.

PosterDiBelakangTabir

Poster filem Di Belakang Tabir yang menampilkan P.Ramlee sebagai seorang pegawai polis.

Di Belakang Tabir

Filem ini diterbitkan pada 1970 dan ini juga adalah kali pertama Jins menjadi pengarah kepada P. Ramlee.

Ketika itu, ramai yang mengatakan darjat P. Ramlee sebagai seniman agung telah turun kerana sanggup berlakon di bawah arahan seorang pengarah baharu.

Jins juga mengakui kekok untuk mengarahkan individu yang dianggapnya sebagai guru namun P. Ramlee berkata bahawa beliau sangat menyanjung sesiapa sahaja seniman yang kreatif walaupun masih hijau.

Di dalam filem itu, P. Ramlee memegang watak sebagai Asisten Superintenden Azman. Jangan ingat Datuk Yusof Haslam sahaja yang pernah jadi polis.

Sedutan filem Bukit Kepong. — Facebook/Siar

Bukit Kepong

Jika disebut nama filem yang melambangkan perjuangan untuk negara, pasti judul filem Bukit Kepong antara yang menjadi sebutan.

Filem ini diterbitkan pada 1981 dengan kos berjumlah RM1.3 juta, nilai yang begitu tinggi pada zaman itu.

Filem Bukit Kepong pada 2011 pernah menjadi isu dan dipolitikkan sehingga Jins sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan yang karyanya itu adalah berlandaskan kepada fakta.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga antara yang terbabit dalam membuat pengesahan skrip filem tersebut.

WhatsApp Image 2022-09-21 at 8.34.38 PM

Jins sekali lagi bersama Noorkumalasri dalam filem Tiada Esok Bagimu.

Tiada Esok Bagimu

Selepas sambutan yang hangat yang diterima menerusi filem Menanti Hari Esok, Jins tampil dengan karya seterusnya berjudul Tiada Esok Bagimu.

Diterbitkan pada 1979, filem ini juga mendapat sambutan yang baik daripada penonton dan diangkat sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) yang pertama pada 1980.

Menerusi filem ini juga, Jins dianugerahkan sebagai Pengarah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik manakala seniwati Allahyarhamah Azean Irdawaty pula dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik.

CH8Er_OWwAAPVkX

Azmil (tengah) cukup dikenali dengan wataknya dalam filem Ali Setan.

Ali Setan

Siapa yang tidak kenal dengan filem Ali Setan yang dibintangi Allahyarham Azmil Mustapha dan Fauziah Ahmad Daud.

Filem ini sebenarnya adalah arahan Jins dan ketika ditayangkan pada 1985, filem ini tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

Buktinya, jumlah kutipan Ali Setan hanya sekadar RM990,000 berbanding filem Adik Manja yang mendapat kutipan sebanyak RM3.5 juta.

Namun, disebabkan filem Ali Setan ditayangkan saban tahun di kaca televisyen, maka filem itu kekal dalam ingatan dan menjadi filem wajib tonton terutamanya mereka yang baru bergelar pelajar universiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram