LUMRAH dalam melayari bahtera perkahwinan, pasti akan dilanda badai dan ketika itulah, hubungan suami isteri mula teruji.
Ada yang berjaya mengawal bahtera rumah tangga dengan baik namun ada juga yang gagal sehingga karam dan memilih haluan berbeza.
Tetapi, kalau dah akar hubungan suami isteri itu kuat, berpisahlah berapa lama sekalipun, pasti hubungan itu akan bertaut kembali.
Berikut Majoriti senaraikan lima pasangan selebriti yang pernah berkahwin dan bercerai sebelum memilih untuk kembali bersama.
Datuk Ras Adiba Radzi
Ras Adiba dan suaminya, Mohamed Azam Ali mula berkenalan sejak 1989 ketika personaliti televisyen itu bertugas di TV3.
Pasangan itu kemudian berkahwin pada 16 Mac 2019 sebelum di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Ras Adiba yang kini seorang Senator memaklumkan mereka pernah bercerai namun enggan mendedahkan lebih lanjut berkenaan perkara itu.
Sebaliknya, Ras Adiba mengumumkan yang dia kini sudah bergelar isteri semula kepada Mohamed Azam pada 2 Jun lalu.
Datuk Hattan
Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Sahabuddin berkahwin dengan isterinya, Arianie Abidin pada 1996.
Namun, mereka bercerai talak satu pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman.
Sembilan tahun membawa haluan seniPada 25 Julai 2013, pasangan ini kembali bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.
Arianie berkata, kesungguhan Hattan untuk memikat hatinya yang membuatkan dia terbuka melayari bahtera rumah tangga bersama buat kali kedua.
Linda Rafar dan Syed Aiman
Bekas anggota kumpulan Elite, Linda Rafar dan suaminya yang juga seorang pelakon, Syed Aiman berkahwin pada 2 Disember 2006.
Terdapat khabar angin yang mendakwa pasangan ini sudah bercerai namun dinafikan Syed Aiman. Beberapa hari kemudian, Linda akhirnya mendedahkan bahawa suaminya melafazkan cerai di kediaman mereka pada 8 September 2015.
Pada 11 September 2015, Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Rafar hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor untuk menyerahkan borang pengesahan lafaz cerai.
Namun, beberapa minggu selepas itu Syed Aiman membuat keputusan untuk rujuk semula dan sehingga kini, mereka kekal sebagai suami isteri.
Diana Rafar dan Zamarul Hisham
Diana Rafar atau nama sebenarnya, Adiana Rafar yang juga adik Linda turut berkongsi kisah perjalanan rumah tangga yang sama.
Bergelar isteri kepada pelakon, Zamarul Hisham pada 2009, ikatan perkahwinan mereka terlerai secara mengejut pada 15 Januari 2015.
Namun, Zamarul dalam kenyataannya selepas itu mengakui yang dia masih sayangkan Diana sehinggalah mereka memilih untuk rujuk kembali pada 15 Mei tahun sama.
Aliff Aziz dan Bella Astilah
Hubungan antara pasangan penyanyi, Aliff Aziz dan Bella Astilah antara yang pernah menjadi perhatian orang ramai satu ketika dahulu.
Aliff bergelar suami kepada Bella pada 9 September 2016 namun membuat keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019.
Penceraian itu didakwa berlaku ekoran beberapa siri kecurangan yang dilakukan Aliff ketika bergelar suami.
Namun, pada April 2020, Bella mendedahkan yang dia dan Aliff sudah kembali rujuk sebagai pasangan suami isteri ketika dalam edah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram