Masalah kesihatan punca Shahrul tinggalkan kem Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Ekoran masalah kesihatan yang dihadapi Shahrul tidak sempat pulih mendorong pihak kejurulatihan membuat keputusan untuk melepaskannya. — Agensi

PEMAIN pertahanan tengah Harimau Malaya, Shahrul Saad sah dilepaskan dari kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala Raja Thailand ke-48 2022 pada Khamis (22 September) hingga 25 September ini.

Menurut Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon, ekoran masalah kesihatan yang dihadapi Shahrul sejak melaporkan diri pada Jumaat, tidak sempat pulih mendorong pihak kejurulatihan membuat keputusan untuk melepaskannya.

"Shahrul melaporkan diri bersama pemain-pemain lain pada Jumaat tetapi pemantauan oleh doktor dan fisioterapi pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati dia tidak sempat untuk cergas sepenuhnya.

"Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat supaya dia kembali pada tahap terbaik selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, barisan kejurulatihan kekal dengan pemain sedia ada dan tiada penambahan pemain baharu bagi menggantikan Shahrul untuk menghadapi kejohanan itu yang akan berlangsung di Thailand.

"Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor sementara seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai, Thailand pada Isnin ini.

"Tiada penambahan pemain baharu," ujarnya.

Skuad Harimau Malaya kendalian Pan-gon diundi bertemu Thailand manakala Trinidad & Tobago bakal berentap dengan Tajikistan dan kedua-dua perlawanan ini berlangsung pada 22 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram