Korea Selatan kelihatannya sudah mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan E kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B20) apabila pasukan itu akan turun berdepan Harimau Malaya bagi penentuan tempat pertama dan kedua pada Ahad.
Skuad Taeguk Warriors kelihatan tidak mempunyai sebarang masalah untuk melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Asia B20 dengan status juara kumpulan selepas menewaskan Sri Lanka dan Mongolia.
Namun, bagi ketua jurulatih skuad kebangsaan, Hassan Sazali Waras, dia percaya pasukannya bakal melakar kejutan dalam perlawanan itu apabila moral pasukan berada dalam keadaan baik ketika ini selepas melakar kemenangan ke atas Sri Lanka.
“Untuk perlawanan esok (Ahad), sudah tentu kalau boleh kami mahu untuk mendapat tiga mata penuh menentang Korea Selatan walaupun misi tersebut saya akui agak sukar.
“Tetapi, ia bukanlah satu misi yang mustahil memandangkan moral pemain-pemain kini berada di tahap yang tinggi selepas menang ke atas Sri Lanka sebelum ini.
“Jadi saya harap mereka tidak terlalu memandang tinggi kepada Korea. Saya yakin kalau mereka mampu melakukannya tidak mustahil untuk mengutip tiga mata penuh,” katanya pada Sabtu.
Untuk rekod, skuad kebangsaan kini berada di kedudukan kedua kumpulan di belakang pendahulu kumpulan E, Korea Selatan dengan meraih empat mata hasil satu kemenangan dan seri sekali.
Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada setiap 10 kumpulan akan layak secara automatik, manakala lima lagi slot diberikan kepada lima naib juara terbaik selain Uzbekistan yang layak selaku tuan rumah.
Sementara itu, Hassan ketika ditanya berkenaan keadaan pasukannya menjelang perlawanan akhir nanti, dia berasa lega kerana tiada kecederaan serius dialami pemainnya.
Malah, katanya, kesemua pemain yang dibawanya juga cergas untuk diturunkan dan berharap mereka sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan pada aksi tersebut.
“Alhamdulillah, setakat ini semua pemain cergas untuk diturunkan kerana tiada yang mengalami kecederaan serius.
“Jadi saya harap kesemua mereka berada dalam keadaan sedia sekiranya diperlukan. Harapnya mereka mampu untuk bagi aksi yang terbaik pada perlawanan tersebut," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram