KEMUNCULAN penyanyi dan artis tersohor negara, Noraniza Idris di pentas sememangnya sentiasa dinantikan peminat kerana keunikan serta kreativiti persembahannya yang tidak pernah mengecewakan.
Tidak kira sama ada di pentas AJL, acara anugerah atau apa sahaja, penonton pastinya akan terpukau dengan gabungan irama tradisional Melayu dan kemeriahan tarian rakyat yang sering dipertontonkan.
Menerima gelaran Ratu Irama Malaysia, kemunculannya pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-12 pada tahun 1997 menerusi lagu 'Awallah Dondang' telah membawa nama Noraniza Idris terus meluncur jauh sehingga ke hari ini.
Noraniza Idris bakal mempersembahkan gabungan tradisional dan tarian memukau pada konsertnya Oktober ini.
Selepas 36 tahun bergelar anak seni, buat julung kalinya Noraniza Idris bakal membawakan sebuah konsert eksklusif bertaraf antarabangsa diberi nama 'Konsert Malai Solo Noraniza Idris' pada 21 sehingga 23 Oktober di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai konsert yang bakal dilangsungkan, dia berasa sangat bersyukur kerana memiliki sebuah pasukan yang sentiasa menyokong kerjaya dan minatnya terhadap muzik irama Melayu.
"Sebagai seorang artis sudah tentu kita ada keinginan untuk buat konsert, tapi disebabkan saya hanya memiliki satu album ketika itu dan banyak kekangan seperti nak mencari penaja dan sebagainya, jadi saya teruskan dengan album lain dulu.
"Saban tahun ia semakin sukar dan kos penerbitan untuk sebuah konsert juga sangat tinggi dan muzik irama Malaysia bukanlah sekadar konsert biasa, sebab itu saya tak mampu nak buat konsert," katanya.
Namun, Noraniza Idris menarik lafas lega apabila impian dan cita-citanya untuk melangsungkan konsert sulungnya bakal menjadi kenyataan pada Oktober ini.
"Sebelum ini saya tidak memiliki pasukan yang bagus, tapi sekarang alhamdulillah selepas 20 tahun berlalu impian saya akhirnya tercapai jua," katanya.
Difahamkan, seramai 300 individu membabitkan pengarah muzik terkenal negara, Datuk Ramli MS, barisan pemuzik kelas A bertaraf filharmonik dan kemunculan 40 pasukan artis budaya akan turut menghiasi konsert berkenaan.
Tiket konsert boleh dibeli melalui laman web www.ilassotickets.com mengikut kategori dan harga berlainan iaitu VVIP Awallah Dondang RM1,599, VIP Dikir Puteri RM899, Intan Payung RM399 dan Hati Kama RM299. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram