
SELEPAS mencapai kejayaan bergelar juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 menerusi lagu Gila, nama Kaka Azraff semakin menghilang dari industri seni.
Malah, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff juga mengakui yang dia sudah hampir setahun tidak muncul dalam industri seni.
"Sebenarnya apa yang berlaku adalah selepas kehilangan nenek tersayang pada 11 Mac lalu, saya seperti hilang arah dan semangat untuk terus berkarya.
"Nenek merupakan insan terpenting kerana saya dibesarkan olehnya. Masih ingat lagi bila ada artikel saya yang keluar, pasti dia akan potong dan simpan," katanya kepada Majoriti.
Kaka bersama arwah neneknya.
Menurutnya, proses merakamkan lagu yang lama serta semangatnya yang hilang membuatkan dirinya terus sepi dalam dunia seni.
Namun, kata ibu kepada dua cahaya mata ini, pada penghujung tahun lalu dia mendengar demo lagu Hilang yang akhirnya membakar semangatnya untuk berkarya kembali dalam dunia seni.
Jelasnya, idea di sebalik pembikinan lagu ini datang darinya sebagai satu daripada cara untuk mengabadikan kehilangan orang tersayang dalam sebuah karya.
"Saya tujukan lagu ini khusus buat mereka yang telah 'hilang' secara zahirnya tetapi tidak pernah hilang dan sentiasa ada dalam hati.
Kaka lega kerana proses rakaman lagu Hilang dilakukan ketika dia mengandung tujuh bulan berjalan lancar.
"Kita sebenarnya sering mengambil mudah banyak hal dan apabila mereka tiada, barulah kita sedar pentingnya seseorang itu dalam hidup," katanya.
Dalam pada itu, merakamkan lagu ciptaan komposer, Omar K dan Ezra Kong, Kaka memberitahu yang proses rakaman dilakukan ketika dia sedang sarat mengandung.
Jelasnya, ketika itu usia kandungannya memasuki tujuh bulan namun dia bersyukur kerana proses rakaman berjalan dengan lancar.
Tambahnya, dia juga berharap yang orang ramai akan menyukai lagu terbaharunya dan berharap karyanya akan berpeluang untuk memasuki AJL sekali lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram