PIHAK berkuasa menahan lebih 300 remaja bawah umur ekoran meminum arak di sebuah pusat hiburan popular di daerah Muang, Chiang Rai di Thailand pada Sabtu.
Anggota Jabatan Pentadbiran Wilayah (DPA) dan Jabatan Perlindungan Juvana (DJOP) menyerbu kelab malam, Parclub di Jalan Rat Bamrung pada pukul 2 pagi.
Rata-rata remaja yang ditahan sedang leka menari sambil meminum minuman keras dan mula menyedari kehadiran penguat kuasa apabila lampu dinyala dan muzik dihentikan.
Siasatan mendapati 325 remaja di bawah umur terlibat dalam pengambilan alkohol itu semuanya kurang 20 tahun.
Seramai 325 remaja sedang asyik menari dan meminum minuman keras ketika serbuan dilakukan.
Remaja 16 tahun menjadi antara individu termuda dalam penahanan tersebut manakala 50 pelanggan tidak memiliki kad pengenalan diri.
Pihak berkuasa juga mendapati tiga pintu kecemasan laluan kebakaran tidak berfungsi dan dipercayai sengaja dibiarkan dalam keadaan berkunci kononnya mengelak diserbu.
Pemilik kelab didakwa kerana membenarkan remaja bawah 20 tahun menggunakan perkhidmatan dalam premis yang turut melakukan kesalahan kerana beroperasi di luar waktu dibenarkan.
Keadaan pintu laluan kecemasan yang dipercayai dikunci oleh pihak kelab bagi mengelakkan pencerobohan.
Ekoran kejadian terbabit, Superintendan Balai Polis Daerah Muang, Chiang Rai, Kittipong Sukwattanapan dipindahkan ke cawangan lain berkuatkuasa serta-merta dan digantikan oleh Chinawich Wichaithanapat.
Susulan itu juga, gabenor daerah itu diminta membatalkan lesen operasi Parclub dan mengarahkan penutupan serta larangan operasi selama lima tahun.
Ketua operasi DPA, Ronnarong Thipsiri berpendapat, pengurusan pusat hiburan seharusnya bertanggungjawab daripada terlibat dengan kes jenayah.
Pada masa sama penguasa meminta agar pintu laluan kecemasan tidak dikunci bagi mengelakkan insiden tidak diingini seperti di Mountain B di Sattahip, Chon Buri yang terbakar dan meragut 23 nyawa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram