Pernah alami masalah kulit? Berikut 3 jenis dermatitis yang anda patut tahu


  • Sihat
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan dermatitis pada kulit manusia.

KERADANGAN kulit seperti seperti kekeringan, gatal-gatal serta ruam merupakan salah satu tanda seorang individu tersebut menghidap dermatitis.

Dermatitis bukanlah sekadar masalah kulit tetapi ia juga boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit sekiranya tidak dirawat dengan cara yang betul.

Dr. Yazli berkata terdapat pelbagai punca yang menyebabkan keradangan kulit.

Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Ampang Puteri, Doktor Yazli Yuhana berkata, dermatitis boleh terjadi pada sesiapa saja tanpa mengira peringkat umur.

"Dermatitis merupakan satu istilah kasar dalam bidang perubatan yang memberi maksud keradangan pada kulit.

"'Derm' itu merujuk kepada kulit dan 'itis' merujuk kepada keradangan," katanya kepada Majoriti.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan keradangan kulit pada manusia dan antara jenis-jenis dermatitis yang kerap terjadi ialah:

1.Keradangan kulit disebabkan imun badan atau ekzema

Ekzema akan menyebabkan kegatalan kulit yang teruk. Agensi

Dermatitis jenis ekzema ini kerap berlaku pada kanak-kanak namun orang dewasa tidak terkecuali.

Ekzema akan menyebabkan kegatalan kulit yang teruk sehingga melibatkan kawasan yang sering digaru itu menebal dan berkuping.

Antara punca ekzema adalah disebabkan oleh reaksi dari sistem imun badan yang tidak terkawal.

2. Keradangan kerana kulit bersentuh dengan bahan penyebab keradangan

Contact dermatitis hanya akan terjadi pada kulit yang terdedah dengan cecair yang berpotensi menyebabkan keradangan. Agensi

Selalunya kulit pesakit akan bertindak balas dengan bahan seperti bahan pencuci dan bahan sanitizers sehingga menyebabkan keradangan.

Berbeza dengan ekzema, contact dermatitis hanya akan terjadi pada kulit yang terdedah dengan cecair yang berpotensi menyebabkan keradangan.

Contohnya seperti pembasuh pinggan, pencuci baju dan pencuci muka boleh menyebabkan keradangan kulit.

Selain itu, sarung tangan getah juga berpotensi menyebakan keradangan pada kulit tangan.

3. Keradangan pada kulit kepala dan muka

Dermatitis Seborea menyebabkan tompokan bersisik, kulit merah dan kelemumur yang degil. Agensi

Dermatitis Seborea adalah keadaan kulit biasa yang sangat menjejaskan kulit kepala pesakit.

Ia menyebabkan tompokan bersisik, kulit merah dan kelemumur yang degil.

Dermatitis seborea juga boleh menjejaskan kawasan berminyak di tubuh badan, seperti muka, sisi hidung, kening, telinga, kelopak mata dan dada.

Jelas Dr. Yazli, kes dermatitis yang kecil dapat diselesaikan dengan rawatan secara sendiri, tetapi jika gejala bertambah buruk, pesakit harus berjumpa dengan pakar dermatologi untuk menentukan tindakan terbaik bagi merawatnya.

"Jangan menggaru kulit yang meradang, lagi digaru lagi ia akan merebak.

"Dapatkan konsultasi daripada doktor dan rawatan ubat gatal juga boleh membantu.

"Jika dermatitis makin teruk, kebarangkalian jangkitan bakteria ke dalam kulit adalah tinggi dan pesakit perlu mendapatkan rawatan antibiotik bagi mengawal jangkitan serta keradangan," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram