Betulkan tali pinggang kawan 'istimewa', keikhlasan murid Sarawak undang pujian


  • Tular
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Tindakan seorang murid membantu rakannya membetulkan tali pinggang selepas ke tandas mendapat pujian waraganet. — Facebook

GELAGAT kanak-kanak membantu rakan istimewanya di sebuah sekolah pedalaman Kapit, Sarawak menyentuh hati warganet.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan Sylvester Ronny Pulene melalui akaun Facebook menunjukkan dua orang murid sekolah rendah membantu rakannya menguruskan diri.

Melalui hantaran tersebut, Sylvester turut berkongsi dua gambar menunjukkan dua orang pelajar memakai baju sukan membantu seorang pelajar di luar tandas.

Kelihatan pelajar itu membetulkan semula tali pinggang dan baju sekolah pelajar terbabit.

Slyvester yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Sungai Kapit menyifatkan tindakan yang dilakukan murid Tahun Satu itu seharusnya dipuji dan merupakan erti sebuah persahabatan sebenar.

Sekolah 1

Menurut Sylvester, pelajar yang dikenali sebagai 'J' merupakan seorang kanak-kanak istimewa — Facebook

"Erti sebuah persahabatan (Pementas Enggau Kaban).

"Selepas waktu rehat, semasa menuju ke kelas saya terserempak dengan tiga sahabat ini.

"Dua orang pelajar itu sedang membantu rakannya membuka tali pinggang kerana ingin membuang air.

"Murid 'J' ini sememangnya istimewa. Dia adalah bekas murid saya di prasekolah. Dia masih tak pandai mengurus diri sendiri.

"Bahkan semasa di Tahun 1, dia masih lagi menggunakan pampers dan mungkin hari ini dia tak memakai pampers," tulisnya.

Menurut cikgu tersebut, pelajar lelaki yang dikenali sebagai 'J' itu juga mengalami masalah pertuturan namun dia beruntung dikelilingi rakan sebaya yang prihatin.

"Percakapan dia pun tak berapa jelas (agak slow) tetapi saya bangga dia mempunyai ramai kawan di dalam kelas yang cukup prihatin dengan dia.

"Bahkan kadang-kadang kawan-kawan dia sanggup tolong dia beratur untuk ambilkan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di kantin sekolah.

"Dia juga seorang yang sangat peramah walaupun dia agak lain daripada murid yang lain.

"Pendek kata, rakan yang sekelas dengan dia semua memberikan perhatian kepada dia walaupun mereka masih di usia 7 tahun.

"Kawan dia itulah yang tolong bukakan tali pinggang dan juga kemaskan semula baju dia bila sudah siap.

"Selepas itu mereka pimpin tangan balik ke kelas semula sambil ketawa riang," katanya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet tidak berhenti-henti memuji tindakan baik pelajar tersebut yang dilihat ikhlas membantu rakannya.

"ALLAHUAKBAR, Alhamdulillah syukur anak-anak yang baik," kata Apsah Gani Ning.

Seorang warganet, Bayern Anthony turut mendoakan kanak-kanak tersebut berjaya dan dipermudahkan segala urusan mereka

"Semoga mereka berdua ini berjaya dalam pelajaran. Dari kecil dah berhati mulia dan semoga satu hari nanti jadi pemimpin kita di Sarawak," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram