SEORANG lelaki menerima kecaman netizen selepas tindakannya mencuri kasut di pangsapuri Arista Bandar Parklands Klang, awal pagi Selasa lalu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Seorang penghuni pangsapuri berkenaan, Noor Idayu, 28, berkongsi video suspek yang leka mencuri kasut salah seorang jirannya menerusi akaun TikTok vhr_1221.
Menerusi video berkenaan, suspek dilihat berdiri di tepi rumah berkenaan dan mencuri kasut yang diletakkan dalam pagar kawasan pangsapuri itu.
Lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri setelah berjaya mencuri kasut itu.
Menurut Idayu, kejadian kecurian sering berlaku sejak beberapa bulan lalu.
"Ini bukanlah kali pertama kejadian itu berlaku, dah selalu sangat.
"Kali ini memang kantoi muka pencuri itu.
"Lelaki itu bukan saja mencuri kasut, malah baju dan seluar yang berjenama.
"Pandai pencuri ini pilih, nak curi yang mahal-mahal sahaja," katanya pada Majoriti.
Noor Idayu berkata, dia juga pernah menjadi mangsa dan kehilangan tiga pasang kasut dan selipar.
Jelas Idayu lagi, kejadian curi itu selalunya berlaku pada awal pagi dan waktu penghuni sibuk berkerja.
"Saya sendiri pernah kehilangan tiga pasang kasut dan selipar," jelasnya.
Tambah Idayu lagi, ada di antara penghuni pangsapuri tersebut juga didakwa mengenali suspek.
"Lelaki itu ada yang kenal, duduk berdekatan di kawasan ini.
"Tapi tidak sangka la pulak kan dia yang mencuri, almaklumlah sihat tubuh badan.
"Patutnya 'sado' macam itu, kerja mencari rezeki halal, bukannya mencuri," katanya.
Tambah wanita itu lagi, pihak penghuni pangsapuri masih belum membuat laporan polis dan akan berjumpa terlebih dulu dengan suspek selepas ini bagi mendapatkan penjelasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram