'Fans' Selangor desak Caion, Mukhairi direhatkan: Ketahui pro-kontra jika 2 nama ini jadi pengganti


  • Podium
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Selangor FC terus dirundung malang dalam kempen Liga Super musim ini selepas tumpas 0-2 di tangan TFC pada Rabu. — Facebook

BIARPUN sebahagian peminat mengecam pasukan Selangor FC, namun masih ada segelintir penyokong skuad The Red Giants yang percaya masih ada harapan buat pasukan itu bangkit dalam saingan Liga Super musim ini.

Bakal menentang pasukan Petaling Jaya City (PJ City) FC dalam aksi Liga Super Ahad ini, penyokong skuad Gergasi Merah mengharapkan pasukan itu menukar corak permainan dan melakukan pertukaran pemain.

Perkara itu termasuk meneliti semula barisan pemain sedia ada ketika bertembung dengan pasukan lawan.

Namun, setiap pemain mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri.

Penyokong tersebut mencadangkan tempat tonggak import, Herlison Caion de Sousa patut digantikan dengan seorang lagi penyerang tempatan, Muhammad Shahrel Fikri.

Ini kerana, prestasi Caion dilihat semakin menurun dan pemain itu juga sudah lama tidak menjaringkan gol untuk pasukan Selangor.

Pada masa sama, perancang muda, Mukhairi Ajmal juga perlu direhatkan dan peranannya atas padang perlu digalas oleh Baha' Abdel-Rahman.

Penyokong juga berpendapat Mukhairi dilihat terlalu tertekan ketika berada di atas padang.

Berikut merupakan pro dan kontra jika Selangor menurunkan kedua-dua pemain itu pada aksi berdepan PJ City kelak:

Shahrel Fikry

Shahrel juga mempunyai kelebihan menjadi pemain sayap kiri tetapi juga boleh bermain sebagai penyerang. — Facebook

1. Sharel Fikri

Pro: Pemain berusia 27 tahun ini dilihat mempunyai lebih stamina berbanding Caion.

Shahrel juga mempunyai kelebihan menjadi pemain sayap kiri selain menggalas tugas sebagai penyerang.

Shahrel juga pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam kalangan pemain tempatan dalam saingan Liga Super musim 2020 dimana beliau berjaya menjaringkan 10 gol.

Kemunculan Shahrel dalam perlawanan Selangor menentang Terengganu FC pada Rabu seolah-olah membawa vibes serangan yang lebih positif ke arah pasukan lawan.

Kontra: Walaupun pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada 2020, namun rekod jaringan tersebut tidak dapat mengatasi rekod Caion pada musim ini.

Shahrel juga pernah mengalami kecederaan serius yang menyebabkan dirinya terpaksa direhatkan dalam tempoh yang lama.

Baha

Sebagai pemain di bahagian tengah bertahan, hantaran Baha pernah membantu rakan sepasukan menyumbangkan gol pada perlawanan menentang Kuala Lumpur FC April lalu. — Facebook

2. Baha Abdel-Rahman

Pro : Pemain import dari Timur Tengah ini boleh memanfaatkan pengalamannya bersama skuad kebangsaan Jordan untuk menguatkan lagi jentera tengah Selangor FC pada perlawanan Ahad ini.

Sebagai jeneral di bahagian tengah bertahan (CDM), hantaran Baha pernah membantu rakan sepasukannya menyumbangkan gol pada aksi menentang Kuala Lumpur City FC, April lalu.

Kontra: Baha kini berusia 35 tahun dan mungkin faktor tersebut menyebabkan dia dianggap tidak secergas rakan sepasukannya yang lain.

Seperti yang semua maklum, Selangor FC merupakan pasukan yang gemar menurunkan pemain-pemain muda setiap kali beraksi apabila skuad utama Gergasi Merah bagi musim 2022 merupakan skuad termuda dalam kejohanan Liga Super dengan purata umur 25 tahun.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram