Pernah lalui detik sukar, kini giliran Brendan Gan titip kata-kata semangat buat penyokong hidap kanser


  • Podium
  • Ahad, 10 Jul 2022

Pada Julai tahun lalu, Gan mengumumkan bahawa dirinya menghidap kanser testis dan mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu daripada bermain dalam aksi Liga Malaysia.  — Facebook/Selangor FC

SELEPAS berjaya melawan kanser, Kapten Selangor FC, Brendan Gan antara contoh terbaik dalam kalangan pemain bola sepak negara kerana semangat juangnya yang tinggi baik di atas padang mahupun luar padang.

Pada Julai tahun lalu, Gan mengumumkan bahawa dirinya menghidap kanser testis dan mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu daripada bermain dalam aksi Liga Malaysia bagi menjalani rawatan.

Kini, selepas hampir setahun tidak beraksi, pemain kacukan Malaysia-Australia itu bukan hanya membangkitkan semangat rakan sepasukannya namun semangat juangnya juga memberi inspirasi kepada penyokong bola sepak tempatan.

Perkongsian dari laman Harimau Malaya menceritakan bahawa seorang pesakit Hemophagocytic lymphohistiocytosis (HLH) berkeinginan untuk berjumpa atau mendapat kata-kata semangat daripada Gan berikutan kekagumannya terhadap pemain itu.

WhatsApp Image 2022-07-10 at 11.32.03 AM

Tangkap layar perkongsian dari kawan Nazirul. — Facebook Harimau Malaya

"Moral dia sangat down memikirkan nasib sendiri, isteri dan anak-anak dia. Dia ada pesan nak jumpa Brendan Gan sebab minat dengan semangat Brendan Gan yang banyak kali jatuh tetapi berjaya bangkit. Dengan ACL, kanser dan lain-lain," kata kawannya yang berkongsi impian pesakit bernama Nazirul itu.

Tidak mengambil masa yang lama, pemain berusia 34 itu tampil dengan ucapan kata-kata semangat buat pesakit itu dan menunjukkan contoh terbaik bahawa pemain bola sepak bukan hanya tahu mengejar bola tetapi boleh membantu mengubah hidup orang lain.

"Hi Nazirul, ini Brendan Gan. Saya dengar berita kurang enak mengenai awak, saya tak nak cakap ia berita buruk kerana banyak perkara tidak diingini akan berlaku jika sebut perkataan itu. Saya tahu awak sedang berada dalam fasa kesukaran, saya faham perasaan itu kerana ia terjadi kepada saya sebelum ini.

"Jika saya boleh beri nasihat, teruskan lawan dan jangan berputus asa. Mungkin ada masa kita rasa putus asa tapi saya pasti ramai orang di belakang anda. Selangor FC akan sentiasa mendoakan awak. Semoga awak cepat sembuh dan mungkin selepas ini awak boleh datang menonton perlawanan. Kita boleh raikan kemenangan bersama. Terima kasih banyak dan saya harap urusan awak dipermudahkan," katanya dalam wawancara bersama portal Harimau Malaya.

Mungkin ada yang melihat itu hanya sekadar perkongsian biasa dari seorang pemain bola sepak namun bagi penyokong berkenaan ia adalah kata-kata semangat untuk teruskan perjuangan demi anak-anak dan isterinya.

Sebelum ini, pemain tengah itu turut memberi sokongan terhadap bekas pengurus skuad kebangsaan Belanda, Louis van Gaal yang baru-baru ini disahkan menghidap kanser prostat.

Menerusi laman media sosial Twitter miliknya, Brendan Gan memuji van Gaal dan memberikan semangat kepada pengurus itu untuk terus berjuang melawan kanser prostat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram