Gelaran Hulk kunci Khairul cekal lawan kanser, kejar impian ubah hidup 100 juta orang


Khairul menceburi bidang jualan dan pemasaran seawal usia 26 tahun.

SEBAGAI fasilitator, jarang sekali penulis melihat mereka menitiskan air mata di hadapan peserta.

Ini kerana secara lazimnya dalam sesuatu program motivasi, mereka perlu tampil dengan semangat tinggi untuk membangkitkan mood ceria dan aura positif dalam kalangan peserta.

Bagi Khairul Akhyar Mazlan, 38, dia terbuka untuk menceritakan pengalaman hidupnya semasa sesi ice-breaking bersama peserta dalam kalangan pasukan editorial Majoriti.

WhatsApp Image 2022-06-24 at 9.33.46 PM

Khairul bersama editorial Majoriti ketika program team building di Sungai Inki, Kalumpang, Selangor baru-baru ini.

Cerita anak sulung daripada empat beradik ini, pengalaman yang mengubah hidupnya ialah ketika diberitahu oleh doktor bahawa dia hanya ada tempoh tiga bulan untuk hidup berikutan penyakit kanser yang dihidapi.

"Pada 2017, saya disahkan menghidap kanser testis tahap tiga. Saya merahsiakan keadaan ini daripada ahli keluarga termasuk arwah ibu yang turut menderita penyakit barah.

"Sepanjang menerima rawatan kemoterapi, memang tiada siapa tahu malah saya minta isteri untuk tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga lain," katanya diberi kepercayaan mengendalikan program team building Majoriti di Sungai Inki, Kalumpang, Selangor baru-baru ini.

17990552_1162523130543591_5355278129698856552_o

Anak menjadi inspirasi kepada Khairul Akhyar untuk terus positif menghadapi hidup. — Facebook

Menurut Khairul, dalam tempoh itu, anaknya, Noor Adelea menjadi inspirasi kepada dirinya untuk berjuang melawan sakit dan sentiasa berfikiran positif bagi membantu proses pemulihan.

"Ada satu momen yang saya ingat sampai sekarang, ketika itu saya beritahu pada anak kalau saya seorang adiwira, Iron Man jadi pilihan.

"Saya cakap begitu kerana saya suka watak Iron Man kerana genius, tampan dan kaya-raya. Tetapi anak saya yang ketika itu berumur empat tahun kata ayah Hulk, bukan Iron Man.

"Apa yang dikatakan anak saya itu membuatkan saya benar-benar tersentuh," ceritanya sambil memberitahu pelbagai situasi dilaluinya sepanjang tempoh mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan.

WhatsApp Image 2022-06-24 at 1.26.27 PM

Sebahagian peserta editorial Majoriti yang mengikuti program team building di Sungai Inki.

Kata bapa kepada dua anak itu, selesai mengharungi tempoh tiga bulan seperti yang diperkatakan doktor itu, dia sedar umurnya masih panjang dan masa yang ada diibaratkan seperti masa tambahan.

"Saya sedar tiba masanya untuk membantu orang lain ubah hidup mereka. Ia menjadi big why yang menjelaskan kenapa saya berada di sini sekarang," katanya yang pernah bekerja sebagai jurutera kapal semasa zaman remaja.

Pengalaman mengembara ke seluruh dunia ketika berkhidmat dalam bidang maritim memberi kelebihan kepada Khairul. Dia yang pernah terjun ke dalam bidang jualan dan pemasaran pada usia 26 tahun turut memiliki kemahiran daripada aspek komunikasi, kepimpinan dan bidang perniagaan.

121289177_674871983423589_5242513483554932991_n

Khairul gemar menggunakan model berbentuk permainan dalam program motivasi bersama orang ramai. — Facebook

Berbekalkan suntikan semangat baharu, Khairul meneruskan cita-cita untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya dalam bidang motivasi kepada orang ramai menerusi Abundant Impact bermula 2019.

"Mungkin kedengaran agak gila tapi saya mahu ubah hidup 100 juta orang. Kalau saya buat training dengan impact makers yang berkeupayaan untuk membuka minda orang di sekeliling, saya percaya hasrat ini dapat tercapai," katanya.

Tambahnya, perkongsian big why dalam hidup masing-masing amat perlu kerana ia satu-satunya cara untuk keluar daripada zon selesa dan maju dalam bidang yang diceburi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram