KETIKA sebahagian besar golongan muda sibuk atas jalan untuk ke tempat kerja masing-masing, Saqdam Zaim Arffain lebih seronok bergelumang dengan tanah.
Dia yang berkecimpung dalam bidang pertanian seawal usia 25 tahun mengakui sangat menggemari hidup sebagai petani kerana selain dapat berbakti kepada tanah, dia berasa lebih dekat dengan alam semulajadi.
Selepas enam tahun, Saqdam yang mengusahakan dan membekalkan tanaman pokok bunga kantan di Bangi, Selangor mampu tersenyum lebar apabila hasil berbakti kepada tanah selama ini menjadi sumber utama mata pencarian bagi menyara keluarga.
Memiliki Diploma Pengajian Hotel dan Katering daripada Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, pemuda berusia 31 tahun itu pernah bekerja sebagai tukang masak namun kurang meminati bidang pekerjaan tersebut.
"Saya ambil jurusan pengajian hotel dan katering sebab keluarga ada mengusahakan perniagaan hotel dan bilik penginapan. Dengan latar belakang pendidikan ini, saya bolehlah meneruskan legasi perniagaan keluarga.
"Tetapi minat tidak ke arah itu. Jadi selepas berkahwin dan ketika isteri mengandungkan anak sulung, saya ambil inisiatif untuk mencipta sistem pekerjaan sendiri dengan menceburi bidang pertanian," katanya kepada Majoriti.
Saqdam memilih bunga kantan kerana potensi tanaman itu yang memiliki nilai pasaran tinggi. — Facebook
Saqdam Zain mengakui dia lebih suka bekerja sendiri kerana ia memberi kebebasan untuk mengatur masa dan mengekspresi diri kerana berpendapat cara tersebut tidak mengehadkan potensi diri.
"Sebelum menemui bunga kantan, saya ada tanam terung, cili, kacang botol, jagung, tomato, betik tetapi itu sekadar untuk eksperimen.
"Berbeza dengan tanaman lain, bunga kantan dirasakan sangat berpotensi memandangkan tidak banyak diusahakan di negara ini," katanya yang memulakan penanaman tumbuhan itu pada tahun 2015.
Menurut Saqdam, cabaran ketika mula-mula mengusahakan ladang bunga kantan ialah penerimaan daripada kedua orang tuanya.
"Pada awal sukar nak dapatkan sokongan daripada keluarga kerana mungkin ketika itu mereka risaukan masa depan.
"Saya ada masa depan untuk kendalikan perniagaan keluarga tetapi saya tidak berminat ke arah itu dan lebih cenderung ke arah bidang pertanian," kongsinya.
Anak-anak dan isteri menjadi pembakar semangat Saqdam untuk terus maju dalam bidang pertanian yang diceburi. — Facebook
Begitupun, di sebalik itu, Saqdam menganggap bapanya, Arffain Mohamed sebagai pendorong utama untuk dia terus mengusahakan tanaman bunga kantan.
Dia turut mencontohi keazaman dan tekad bapanya yang merupakan seorang bekas tentera.
"Walaupun dia banyak menasihatkan saya untuk 'lari' daripada kegiatan pertanian ini, tetapi kata-katanya itu sebenarnya menguatkan lagi usaha saya untuk meneruskan bidang ini
"Bagi saya, apa yang ayah cakap tu banyak jadi motivasi dan sumber inspirasi untuk diri saya," katanya yang turut menjadikan tiga cahaya matanya sebagai pembakar semangat.
Saqdam (kanan) mencontohi keazaman dan tekad bapanya yang merupakan seorang bekas tentera. — Facebook
Saqdam memberitahu, pasaran bunga kantan agak baik yang mana dia boleh menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 bunga kantan sebulan dan dijual pada harga RM1.50 hingga RM5 sebatang bergantung kepada keadaan semasa.
Katanya, bunga kantan banyak kegunaan dalam masakan kerana selain boleh dijadikan ulam, tumbuhan tersebut juga boleh dibuat sebagai jus,
"Bunga kantan digunakan secara meluas dalam masakan seperti laksa, asam pedas, kerabu, nasi goreng, sambal kering bunga kantan dan sebagainya.
"Di Indonesia, bunga kantan dijadikan jus minuman," katanya.
Dia turut bercita-cita menjadi pembekal tanaman bunga kantan utama di negara ini suatu hari nanti.
"Jika Tan Sri Robert Kuok ialah Raja Gula, saya mahu jadi Raja Bunga Kantan," katanya tersenyum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram