PADA usia 20 tahun, Kobe Jae Chong sudah menempa nama dalam sukan bola sepak serta berada dalam kelasnya tersendiri. Percaya atau tidak, Kobe juga pernah dianggap sebagai salah seorang pemain futsal paling berbakat di United Kingdom.
Kobe menyertai akademi West Bromwich Albion pada usia sembilan tahun. Meskipun sudah mendapat tempat di kelab tersebut, dia dan bapanya sanggup ke Portugal selama dua minggu untuk hadir sesi pemilihan di Sporting Lisbon, tempat kelahiran bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo.
Anak kacukan Malaysia-Jamaica itu bagaimanapun gagal pemilihan tersebut dan kembali ke West Bromwich Albion, namun digugurkan kerana hilang tanpa surat tunjuk sebab.
Di sebalik apa yang berlaku, Kobe pernah menyertai pasukan Serie A, Cagliari dan melawan pemain muda terbaik dari Juventus, AC Milan dan Inter Milan. Namun bagi kebanyakan orang, nama Kobe kedengaran asing.
"Mungkin saya terkeluar dari radar," katanya ketawa.
Kobe pernah disuruh bapanya berlatih melakukan 1,000 tendangan di dapur seawal pukul 6 pagi sebelum ke sekolah. — Agensi
Selepas terlepas kontrak senior dengan Brentford, Kobe berazam untuk tidak mahu namanya terus dilupakan.
Dilahirkan di jalanan di luar Stadium St Andrews Birmingham, England, Kobe dinamakan sempena legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Kobe Bryant.
Bapanya merupakan warga Malaysia, manakala ibunya merupakan warga Jamaica.
Kobe dibimbing dan dilatih oleh bapanya yang juga bekas pemain bola keranjang profesional untuk Birmingham Blues dan telah dibawa ke Strike Soccer Schools ketika berusia dua tahun sebelum menghadiri kem Futsal Brazil pada usia enam tahun.
Menurut Kobe, bapanya menyuruh dia berlatih melakukan 1,000 tendangan di dapur seawal pukul 6 pagi sebelum ke sekolah.
"Apa yang disuruh ayah memberi manfaat kerana ia memberi kelebihan kepada saya berbanding kanak-kanak lain," katanya seperti dipetik portal The Sun.
Bapanya merupakan warga Malaysia, manakala ibunya merupakan warga Jamaica. — Agensi
Kelebihan itu disifatkan sebagai tahap teknikal yang unik pada seorang budak lelaki sebegitu muda. Hal itu menyaksikan kelab West Bromwich Albion memberi penyertaan kepada Kobe tanpa sebarang bentuk percubaan atau pemilihan.
“Kanak-kanak lain di sekeliling saya tidak berada pada tahap saya secara teknikal. Saya dilihat luar biasa dan berbeza. Tetapi budak-budak lain juga pandai dalam perkara asas seperti hantaran bola, jadi saya perlu belajar daripada mereka," ceritanya.
Dua tahun berlalu, dan Kobe semakin maju dengan Baggies. Begitupun bapanya yang mempunyai kenalan di akademi Sporting Lisbon, mempunyai aturan lain untuknya.
"Pada usia itu, pilihan masih belum di tangan kita. Jika saya tahu apa yang diketahui sekarang, maka saya akan cuba menanganinya secara berbeza.
"Dan jika ayah saya dinasihatkan dengan betul, dia mungkin boleh meminta Sporting Lisbon berhubung dengan West Bromwich Albion.
“Kami sepatutnya memaklumkan kepada kelab itu bahawa saya tidak dapat hadir latihan. Ayah saya tidak menganggap itu perkara serius. Dia sangat teruja kerana Sporting Lisbon (melahirkan) Ronaldo dan ia menjadi akademi terbaik di dunia.
"Pada masa itu, dia tidak terfikir bagaimana tindakannya boleh menjejaskan saya jika perkara itu tidak berjalan seperti yang dirancang," katanya.
Kobe memiliki bakat luar biasa dan berbeza berbanding kanak-kanak seusianya. — Agensi
Cerita Kobe lagi, ia benar-benar menjadi kenyataan kerana selepas dua minggu, dia tidak berjaya dalam pemilihan di Sporting Lisbon itu.
Sekembalinya ke West Bromwich Albion, dia dilepaskan kerana hilang selama dua minggu tanpa surat tunjuk sebab dan dianggap mensia-siakan peluang yang diberikan.
Setelah situasi malang itu, Kobe bermain untuk Kidderminster Harriers dalam Liga Perdana Junior (JPL). Pada usia 15 tahun, dia sekali lagi dijemput ke Portugal untuk menghadiri sesi permilihan bersama Sporting Lisbon, tetapi tidak berjaya.
"Kali ini, saya menghadapi kesukaran bermain dalam cuaca panas mencecah 35 darjah Celsius setiap hari dan ia bukan sesuatu yang saya mahukan," katanya.
Peluang seterusnya dengan Cagliari apabila kelab yang berpangkalan di Sardinia, Itali itu mahu menandatangani Kobe.
Kontrak itu menyaksikan dia menghabiskan tiga tahun bersama kelab tersebut dengan mewakili U16 dan U17 selain menguji ketahanannya menentang bakat terbaik dari sistem akademi elit Itali.
Kobe ketika berkhidmat dengan kelab Cagliari. — Agensi
Tetapi semuanya tidak mudah untuk remaja itu. Masalah pelepasan antarabangsa menyebabkan dia terlepas banyak perlawanan pada musim pertama.
Selain itu, statusnya sebagai pemain warisan kerana memiliki darah campuran Jamaica dan Malaysia juga menimbulkan isu.
"Ia bukan tempat yang bagus untuk menjadi orang luar. Anda boleh dilayan dengan agak teruk.
“Anda terpaksa menerima dan membiasakannya. Saya tidak fasih bahasa Itali ketika itu dan berasa terasing. Kejayaan saya terbantut dan saya pulang ke UK pada umur 18 tahun," katanya.
Walaupun tanpa ejen dan bergelut dengan pergaulan selepas menghabiskan banyak masa di luar negara, dia kembali ke arena bola sepak tempatan untuk mendapatkan semula minat terhadap sukan itu.
“Saya sedar di Itali bahawa ia bukan yang saya mahukan. Saya perlu berada sepenuh masa di England,” akuinya.
Kobe bermain menentang bakat muda terbaik di Itali. — Agensi
Dia menghabiskan masa setahun dalam kursus sepenuh masa bola sepak di Kolej Solihull tetapi sentiasa tahu bahawa dia cukup bagus untuk bermain dengan akademi.
"Saya mencuba nasib dan pergi ke acara pameran Non-League Gems dan menerima kontrak daripada Brentford pada saat-saat akhir," katanya.
Cabaran yang dilalui Kobe dirasakan mendorongnya untuk menjadi Jadon Sancho (pemain bola sepak Inggeris) versi Malaysia.
"Jadon Sancho adalah salah seseorang yang sentiasa saya ikuti dan pandang tinggi. Tidak ramai bintang Malaysia di negara ini (UK) dan memberi inspirasi daripada kisah saya ini pastinya sesuatu yang luar biasa.
"Pada penghujung hari bola sepak sangat misteri. Mungkin seminggu lagi saya boleh bermain di mana-mana peringkat atau saya boleh hilang tiba-tiba.
“Tetapi saya sangat yakin saya akan pergi jauh dalam bola sepak dan mencari rezeki dan nama untuk diri saya sendiri,” katanya.
Ketika jendela perpindahan pemain kedua Liga Malaysia (Liga-M) kali ini, nama Kobe cukup hangat disebut-sebut bakal menyertai skuad gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT), selain ada juga ura-ura mengatakan dia akan terus dipinjamkan JDT ke Sri Pahang sebaik kontraknya dimeterai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram