KERAP menguap biasanya berlaku apabila kita terlalu letih atau tidak cukup tidur.
Namun, menguap berlebihan juga boleh menjadi petanda penyakit atau masalah kesihatan tertentu dalam badan.
Perlu diingat, menguap sebenarnya adalah cara semula jadi tubuh untuk menyejukkan otak dan mengisi udara di dalam paru-paru.
Proses semula jadi yang berlangsung selama beberapa saat ini biasanya disertai dengan mata berair, regangan otot, dan bunyi khas ketika menguap.
Kebiasaannya seseorang individu menguap antara lima dan 10 kali sehari.
Namun, terdapat kes seseorang menguap sehingga berpuluh kali sehari dan tahukah anda terdapat beberapa sebab seorang kerap menguap?
a) Gangguan tidur
Gangguan tidur boleh menyebabkan seseorang kerap menguap.
Masalah ini juga mengakibatkan penghidap berhenti bernafas beberapa kali semasa tidur atau lebih dikenali sebagai apnea.
b) Narkolepsi
Narkolepsi ialah gangguan neurologi yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, tumor, strok, kecederaan kepala, atau ensefalitis.
Penyakit ini boleh menyebabkan penghidapnya kerap menguap, mengantuk sentiasa, dan beberapa otot badan tidak terkawal.
c) Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu
Pengambilan ubat-ubatan dipercayai menyebabkan seseorang menguap dengan kerap. — Gambar hiasan
Menurut SleepFoundation, kemurungan dan pengambilan ubat-ubatan juga mempunyai kesan sampingan menguap dengan kerap.
d) Punca lain
Menurut Healthline, dalam beberapa kes yang jarang berlaku, kerap menguap dan keletihan boleh menjadi tanda penyakit hati, kegagalan hati, serangan jantung atau sklerosis berganda.
Cara Mengatasi Kerap Menguap
Doktor biasanya mengesyorkan ubat atau terapi tertentu:
a) Wujudkan rutin tidur yang sihat dan konsisten
b) Gunakan alat pernafasan semasa tidur untuk mengelakkan gangguan tidur
d) Dapatkan senaman yang kerap untuk mengurangkan tekanan
Jika anda bimbang anda mungkin mengalami masalah kesihatan, bercakap dengan doktor anda tentang punca anda sering menguap, walaupun anda mendapat tidur yang cukup.
Doktor biasanya boleh mengenal pasti punca sebenar dan mengesyorkan penyelesaian yang paling sesuai, selepas menjalankan pemeriksaan perubatan dan melihat keputusan ujian diagnostik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram