Kontroversi Pemuda Pas tonton filem Mat Kilau, Syamsul Yusof tak 'kuasa' nak campur 


  • Hiburan
  • Isnin, 27 Jun 2022

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan RM12.2 juta pada hari keempat tayangan.

PENGARAH popular, Syamsul Yusof enggan campur tangan dengan kontroversi yang timbul melibatkan filem arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang memulakan tayangan di pawagam pada 23 Jun lalu.

Pada masa sama, Syamsul turut enggan mengulas lanjut mengenai tindakan segelintir pihak termasuk Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa menonton filem arahan beliau baru-baru ini.

Menurut Syamsul, setiap individu mempunyai pandangan tersendiri, namun masih terlalu awal untuk menilai filem arahan beliau yang mengetengahkan penceritaan tentang tokoh pejuang negara menentang tentera Inggeris demi menuntut kemerdekaan.

"Saya tiada komen untuk perkara itu. Khabarnya ada segelintir pihak yang mempunyai isu dengan filem Mat Kilau, tetapi mungkin kerana maklum balas yang positif daripada penonton membuatkan filem itu diterima ramai.

"Pada saya, mereka terlalu berhati-hati dalam membuat kenyataan. Bagi saya, penghasilan filem ini bersesuaian untuk ditonton oleh semua pihak.

"Kita tidak boleh menghakimi sesebuah karya terlalu awal. Saya sebagai pengkarya yang membikin filem mempunyai cara tersendiri untuk bercerita," katanya kepada Majoriti.

Kontroversi mengenai tayangan filem itu timbul selepas Ahmad Fadhli dikatakan menonton filem terbabit, sekali gus dianggap hipokrit oleh segelintir netizen.

Perkara itu jelas bercanggah dengan kenyataan beliau sebelum ini yang 'mengharamkan' penonton menonton filem di pawagam di Kelantan.

Namun, Pemuda Pas dalam kenyataannya pada Isnin menjelaskan, sekiranya filem yang ditayangkan itu mempunyai barisan pelakon yang menutup aurat dan penonton yang menjaga batas serta jalan cerita tersebut tidak menjurus kepada maksiat, ia tidak dianggap haram.

Antara pelakon yang membintangi karya terbitan Studio Kembara itu antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan dan Johan As'ari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram