Yah Kucai dah 'mati' — Afea Deanna


  • Hiburan
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Afea Deanna cukup dikenali dengan watak Yah Kucai dalam filem Kampong Pisang Bersiri-Siri.

SESIAPA sahaja yang menonton filem arahan Allahyarham Mamat Khalid pasti akan tidak dapat melupakan watak Yah Kucai.

Yah Kucai bukanlah watak utama yang diangkat dalam beberapa filem Allahyarham tetapi garapan dan sentuhannya yang membuatkan penonton begitu terkesan dengan pembawa watak itu, Afea Deanna Baharudean.

Ditanya mengenai watak itu, gadis berusia 22 tahun itu berkata, baginya watak Yah Kucai sudah mati.

"Terus terang saya boleh katakan bahawa watak Yah Kucai telah mati ketika kemunculan saya sama seperti watak lain dalam naskhah terakhir yang dibina Allahyarham Mamat.

"Lagipun, hanya Allahyarham sahaja yang betul-betul faham watak tersebut. Tidak ada pengarah lain yang mampu mencari personaliti bagi menggantikan watak Yah Kucai," katanya.

Tambah Afea, Yah Kucai hanya eksklusif bersama dengan Allahyarham Mamat Khalid dan waris pengarah itu, Mohd Khalid Amen pun belum mampu menyambung legasi peranan Yah Kucai dalam naskhahnya.

Dalam pada itu, Afea yang baru sahaja menerima Diploma Bahasa Inggeris dalam majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Khamis mengakui bukan mudah baginya menamatkan pengajian.

"Pada awalnya agak susah saya nak sesuaikan diri kerana saya gadis luar bandar, membesar dalam suasana kampung dan tak biasa dengan persekitaran kampus.

"Tambahan pula berjauhan dengan keluarga, namun sedikit demi sedikit, saya pelajari cara berdikari dan mula mencari kerja untuk sara pengajian saya," katanya yang bekerja di restoran milik Allahyarham Mamat Khalid, Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak.

Tambahnya, apa yang dilakukan adalah dengan memberi tumpuan penuh di dalam kelas dan memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram