Watak Mat Kilau dipertikai, Adi Putra percaya pada rezeki dan tanggungjawab


  • Hiburan
  • Jumaat, 17 Jun 2022

Adi Putra enggan mengambil pusing tentang pertikaian mengenai pemilihannya untuk melakonkan watak Mat Kilau. — Instagram

PELAKON popular kelahiran Singapura, Datuk Adi Putra meluahkan rasa bangga apabila filem aksi tempatan yang paling dinantikan yahun ini, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Dalam pada kegembiraan itu, tidak dinafikan pemilihan beliau untuk membawakan watak sebagai Mat Kilau sehingga kini tetap dipertikaikan.

Tentu sahaja rakyat Malaysia mempersoal bagaimana individu dari negara luar mampu memegang peranan sebagai tokoh pejuang negara yang berasal dari Pahang itu.

Bagaimanapun, Adi Putra atau Mohamed Hadi Putera Halim, 41, tidak mudah melatah apatah lagi tersinggung dengan pandangan berkenaan.

"Tiada komen tentang itu, tetapi saya bersyukur dengan mereka (warganet) kerana memberikan satu komen pada saya.

"Saya sesungguhnya terharu kerana setiap daripada komen itu menunjukkan tanda keprihatinan mereka kepada saya," katanya.

280694790_1711899522489949_7464409575983076488_n

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diharapkan dapat memupuk semangat cintakan tanah air. — Instagram

Pelakon filem Aku Terima Nikahnya itu mengambil pendekatan sudah menjadi rezekinya apabila pihak produksi memilihnya dan dia hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan.

"Saya tidak boleh nak angkat bakul sendiri, tetapi pernah pengarah (Syamsul Yusof) mengatakan kamu sesuai. Jadi sebarang kenyataan lanjut hanyalah tuan punya badan sahaja yang mengetahui.

"Sebagai pelakon, sudah menjadi tugas saya untuk membawakan watak yang sudah diamanahkan," katanya.

Filem arahan Syamsul Yusof itu akan mula ditayangkan pada 23 Jun ini dan turut dibintangi oleh Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Johan As'Ari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram