Afieq Shazwan sudah pandai jadi 'anak ikan'


  • Hiburan
  • Isnin, 20 Jun 2022

Afieq Shazwan dikatakan menemui cinta 'baharu' yang berstatus Datin. — Instagram

PENYANYI yang popular dengan lagu Lelaki Di Telefon, Afieq Shazwan mengakui sedang bercinta dengan seorang wanita berstatus Datin.

Afieq Shazwan atau nama lengkapnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 25, memberitahu itu merupakan pengalaman pertama menjalin hubungan dengan pasangan yang lebih berusia.

Katanya, 'hubungan' tersebut sesuatu yang luar biasa dan pertama kali pernah dilakukan.

"Saya anggap ini sebagai satu cabaran baharu dan ingin mencari kelainan. Saya sekarang jadi 'anak ikan' pula," katanya kepada Majoriti.

Cuma, jangan salah faham. Reaksi terbabit sebenarnya diberikan Afieq mengenai gandingan baharu beliau dengan aktres popular Fasha Sandha menerusi drama rantaian Rampas Cintaku.

Diterbitkan oleh MIG Productions, drama itu turut dibintangi oleh Zarul Husin, Puteri Balqis dan Ady Muhammad serta bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Siapa Tutup Lampu? itu turut berkongsi tentang tahap kesihatannya yang semakin pulih selepas dijangkiti virus Covid-19 Februari lalu.

Jelasnya, pada peringkat awal beliau tidak mampu untuk menyanyikan lagu bernada tinggi dan kerap berasa penat.

"Saya sering melakukan latihan dan berusaha untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Alhamdulillah suara saya kini sudah semakin stabil.

"Namun, tidak dinafikan kadangkala saya mudah berasa penat terutamanya selepas melakukan aktiviti sukan.

"Rasa penat itu kadangkala saya perlu berehat sekejap dan tidur tengah hari sebelum memulakan pekerjaan. Kalau tidak, memang akan rasa penat dan tidak boleh fokus untuk membuat kerja," ujarnya.

Justeru, amalan pemakanan sihat termasuk pengambilan vitamin dan bersukan antara yang kerap dilakukan Afieq untuk mendapatkan stamina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram