"Tak suka PAS lantaklah, tapi ambil elemen dakwahnya"


  • Tular
  • Khamis, 26 Ogos 2021

GAMBAR yang dimuat naik oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Facebook ini mendapat pelbagai reaksi netizen.

SEKEPING gambar yang memaparkan sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) sedang solat di atas batu tular di media sosial semalam dan mendapat pelbagai reaksi yang berbeza dari netizen.

Ada yang memuji usaha mereka untuk mengerjakan solat walaupun berada di kawasan berbatu yang tidak selesa malah tidak kurang juga ada yang mempertikaikan tindakan tersebut sebagai satu ‘lakonan’ untuk mencari publisiti.

Perkara tersebut mendapat perhatian aktivis kemanusian, Muhammad Nadir Al-Nuri yang melontarkan pandangannya mengenai isu tersebut dalam satu hantaran Facebook.

Beliau memuat naik hantaran tersebut bagi membalas komen netizen yang mempertikaikan gambar sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) solat di atas batu di Yan, Kedah semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu meluahkan rasa sedih terhadap tindakan sesetengah netizen yang mendakwa tindakan JAM solat di atas batu itu hanya untuk menunjuk.

“Pandangan saya, kerja-kerja kebajikan memang kena diadun dengan elemen 'adventure' dan keseronokan. Sebab yang terlibat ini orang muda, kadang-kadang dari pelbagai latar belakang dan perwatakan.

“Nanti mereka balik bercerita dengan kawan-kawan mereka, kami ke Kedah dengan brother hari tu, sembahyang dalam sungai, seronok gila! Maka ramai lagi akan berminat nak ikut dan bantu,” tulisnya.

Nadir turut mengenang kembali pengalamannya bersama jabatan tersebut yang beliau gelar ‘Tentera Merah’ ketika menyertai rombongan mereka ke Sabah.

“Kami meredah hutan rimba, berjalan kaki masuk ke tempat perkhemahan berbelas kilometer, mengharung sungai dan berkhemah di bawah hujan lebat. Makan nasi mentah dengan sardin sambil air hujan menitik masuk pinggan. Potong buluh untuk buat atap.

“Sampai sekarang saya terikat dengan anak-anak remaja ini dan yang mereka ingat ialah aksi-aksi mencabar ini, bukannya isi ceramah dan daurah,” katanya.

Nadir turut menasihati orang ramai supaya melihat sesuatu perkara dari sudut positif tanpa prejudis terhadap kecenderungan politik seseorang.

“Kalau tak suka PAS lantaklah. Tolak elemen politiknya. Tetapi elemen dakwah, elemen pembangunan insan, elemen tarbiyyah yang ada padanya perlu didokong.

“Ucaplah Alhamdulillah, di dunia yang penuh merosakkan ini, di zaman yang semakin mencabar ini, ada juga ruang untuk anak-anak kita berdakwah dan ditarbiyyah,” ujar beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram