17 tahun dalam industri, SOG tak pelik masih belum terkenal


  • Hiburan
  • Sabtu, 12 Feb 2022

SOG memilih Alias Studio yang bertaraf antarabangsa untuk menghasilkan album Second Voyage bagi mendapatkan kualiti rakaman terbaik.
RAMAI yang pelik apabila mendengar lagu Pelukan Angkasa dendangan Shila Amzah bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) diumumkan menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-36 baru-baru ini.

Kebanyakannya bertanya siapakah SOG sedangkan kumpulan itu sebenarnya sudah hampir 17 tahun dalam industri seni tempatan dan cukup berpengalaman dalam dunia seni.

Ditanya sama ada mereka berkecil hati kerana masih belum cukup dikenali sehingga kini, pemain dram SOG, Nazmin berkata, mereka tidak kisah mengenai perkara itu kerana mempunyai prinsip yang tersendiri.

"Memang tidak kisah kerana ini adalah jalan yang dipilih untuk memperjuangkan nilai seni kami sendiri tanpa perlu tunduk kepada kehendak komersial.

“Ada yang komen macam-macam apabila mendengar cara vokalis kami menjerit. Namun kami hormati pendapat masing-masing, mungkin mereka tidak biasa. Elemen jeritan itu adalah ekspresi berbeza dalam menyampaikan sesebuah lagu," katanya.

Selain persediaan untuk AJL36, Nazmin berkata, SOG juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk melakukan konsert di dalam dan luar negara yang terbatas ekoran pandemik Covid-19.

“Selain persediaan final AJL36, kami tidak sabar menunggu sempadan dibuka untuk melakukan persembahan jelajah dalam dan luar negara.

“Sepatutnya kami buat jelajah di seluruh Asia dan beberapa negara Eropah serta Amerika bagi mempromosikan album terbaharu namun Covid-19 melanda. Kali ini memang kami sasarkan pasaran antarabangsa,” katanya.

Selain Nazmin, SOG turut dianggotai lima lagi anggota lain iaitu Raja Nazrin Shah (vokalis dan gitar), Amsyar (gitar), Qayyum (bass), Riko Agus (vokalis) dan MK Ridzuan (seruling).

Terbaharu, mereka muncul dengan dengan album ketiga yang dihasilkan di Perancis.

Menurut Nazrin, mereka memilih Alias Studio yang bertaraf antarabangsa untuk menghasilkan album Second Voyage bagi mendapatkan kualiti rakaman terbaik buat peminat mereka.

“Selama sebulan di Paris, kami berjaya merakamkan sebanyak 10 buah lagu. Pengalaman di sana sungguh berbeza, dari segi peralatan rakaman yang ‘high-end’, etika kerja yang hebat dan kemahiran penerbitan.

“Kami amat berpuas hati dengan hasilnya yang mungkin susah untuk dapat di studio rakaman tempatan.

“SOG pernah berkongsi pentas dengan kumpulan rock terkenal Perancis, Chunk! No, Captain Chunk! yang juga merupakan pemilik studio rakaman tersebut dan mereka suka dengan apa yang kami bawakan lalu menawar untuk bekerjasama dengan mereka.

“Bukan senang mendapat peluang dan pengiktirafan pemuzik antarabangsa,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram


hiburan, sog, shila amzah, konsert, perancis, ajl36