Mikrofon merah ada aura AJL, beri tuah kepada Elica Paujin


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Mac 2022

ELICA berduet bersama Hael Husaini untuk lagu Believer pada malam akhir Big Stage.

PEMENANG Big Stage musim keempat, Elica Paujin mengakui bahawa mikrofon merah yang diberi pinjam oleh rakan duet, Hael Husaini banyak membantu dalam persembahannya pada malam akhir pertandingan realiti Big Stage.

Katanya, dia sangat terharu dengan kesudian Hael meminjamkan mikrofon miliknya yang mana dia sendiri tidak menyangkakan perkara itu.

"Sebenarnya saya takut untuk pegang mikrofon tersebut sebab ia mahal, namun dia (Hael) sudah beri kepercayaan dan saya bersyukur serta tidak menyangka seorang penyanyi meminjamkan mikrofonnya kepada artis baharu.

"Mikrofon itu banyak membantu, mungkin ada aura Anugerah Juara Lagu (AJL) dan boleh dikatakan ia memberi tuah untuk persembahan di pentas akhir Big Stage," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, dia menerima mikrofon tersebut semasa sesi latihan dan ia membuatkan nyanyian dan vokalnya lebih jelas kedengaran.

Pada malam akhir Big Stage, Elica membawakan lagu Cinta (nyanyian asal Marsha) dan berduet untuk lagu Believer bersama Hael Husaini.

Katanya lagi buat persembahan akhir, Hael dan Marsha banyak membantu memberi input dan tunjuk ajar kepadanya yang membuatkan dia lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik pada malam berkenaan.

"Hael sangat membantu sebagai rakan duet dan dia turut memberi tunjuk ajar untuk saya perkemaskan lagi persembahan pada malam akhir.

"Begitu juga denga Marsha yang menasihatkan saya supaya memberikan yang terbaik dari segi penjiwaan dan penyampaian untuk lagunya, Cinta," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram