SOG, Shila Amzah bikin kejutan, dinobat juara AJL36


  • Hiburan
  • Isnin, 07 Mac 2022

SOG dan Shila Amzah dinobatkan sebagai juara AJL36 dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi.

LAGU Pelukan Angkasa nyanyian Sekumpulan Orang Gila (SOG) dan Shila Amzah membuat kejutan selepas diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) pada Ahad.

Lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Marsha Milan menerusi lagu Cinta. Hasil kemenangan lagu ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.

Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Haqiem Rusli menerusi lagu berjudul Mimpi hasil ciptaannya dan Datuk A. Aida serta berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.

Penyanyi lagu Sepi, Aina Abdul pula dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 sementara Persembahan Terbaik menjadi milik Marsha sekali gus membawa pulang wang tunai RM18,000.

Selain itu, Aina dan Khai Bahar juga memenangi Anugerah Penyanyi Pilihan Popular.

Setiap persembahan finalis AJL36 dinilai oleh 10 juri profesional tanah air yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail.

Selain itu, barisan juri lain yang terlibat ialah LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan.

AJL36 menampilkan gandingan hos Alif Satar dan Nabila Huda untuk mengemudikan acara kemuncak manakala Karpet Merah AJL36 pula dihoskan oleh Sissy Imann dan Sean Lee.

Malam AJL36 dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat dan kumpulan Cassia di persembahan pembukaan.

Selain itu, kumpulan rock legenda negara, Wings turut membuat persembahan bersama orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik, Datuk Ramli M.S yang berkonsepkan ‘Rock Orkestra’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram