DUA tahun lalu ketika penyanyi, Aufahanie baru nak memperkenalkan diri dalam industri, dia terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak diingini oleh anak seni.
Terkucil ketika menyanyi secara langsung sebuah program yang disiarkan di televisyen sebelum terus dikecam pada malam itu juga.
Mengimbas kembali pengalaman itu, Aufahanie berkata, dia tidak menyangka akan diduga sebegitu pantas dalam industri seni.
"Saya tahu kecaman itu antara yang perlu dihadapi dalam dunia seni kalau nak bergelar artis. Tetapi tidak pula saya sangka secepat itu. Malah, ketika itu saya tiada satu lagu pun.
"Sejak daripada itu, memang keluarga tidak bagi saya intai media sosial sebab mereka mahu saya tenangkan diri dan tidak mahu kecaman mengganggu diri saya.
Aufahanie sebelum ini dikecam kerana terkucil ketika menyanyi secara langsung di sebuah program televisyen.
"Apatah lagi ketika itu saya masih berumur 17 tahun dan masih bersekolah. Mujur rakan-rakan di sekolah faham dan banyak memberi kata-kata semangat," katanya kepada Majoriti.
Menurut Aufahanie, dia tidak pernah terasa pun dengan komen-komen netizen yang mengecamnya sebaliknya berasa kecewa dengan diri sendiri.
Jelasnya, sejak peristiwa itu, dia akan sentiasa menggunakan peluang yang ada untuk menyanyi di hadapan orang ramai bagi membuang rasa gugup.
"Apa yang terjadi sebelum ini kerana saya gugup. Sebab itu selama dua tahun ini saya cuba buang ketakutan itu. Ada ruang untuk menyanyi di hadapan orang ramai pasti saya akan gunakan.
"Alhamdulillah, keluarga juga banyak beri sokongan walaupun dikecam. Malah, mereka yang selama ini memberi semangat untuk saya terus kekal dalam industri seni," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai single terbaharunya berjudul Geming Jiwa, Aufahanie berkata, lagu itu adalah ciptaan sepenuhnya penyanyi, Amylea Azizan.
Malah, lagu itu juga dijadikan runut bunyi untuk drama Dendam Seorang Isteri yang sedang ditayangkan Astro Prima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram