PIHAK polis menahan seorang wanita yang menggugurkan dan menyimpan tujuh janin di dalam kotak makanan, di bilik asramanya di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Perkara itu terbongkar apabila janin-janin tersebut ditemui oleh pemilik asrama, ketika suspek berada di Konawe, Sulawesi Tenggara.
Suspek yang ditangkap di Konawe pada Rabu, tiba di balai polis Makassar kira-kira pukul 12.30 pagi Jumaat.
Difahamkan, semua janin yang digugurkan oleh suspek, yang dikenali sebagai NM itu disimpan sejak tahun 2012.
NM mengakui bahawa dia sengaja menyimpan ketujuh-tujuh janin itu kerana hendak dikebumikan di kampung halamannya di Toraja.
Pegawai polis Bahagian Siasatan Jenayah Makassar, Asisten Komisioner Reonald Truly Sohomuntal Simanjuntak berkata, suspek sentiasa membawa semua janin itu bersamanya setiap kali berpindah rumah.
Katanya, suspek turut mengaku bahawa dia hanya akan mengebumikan kesemua janinnya apabila teman lelaki yang mengandungkannya, dikenali sebagai SM, 30, meminang dan mengahwininya.
"(Teman lelaki) janji untuk berkahwin," kata Reonald.
Selama 10 tahun menunggu, SM tidak pernah masuk meminang menyebabkan suspek terus menjaga janin-janin tersebut.
Namun, sehingga janin berkenaan reput, suspek masih enggan membuangnya.
"Sebab itulah janin sentiasa dimasukkan ke dalam kotak plastik dan dibalut dengan kadbod," tambah Reonald.
Nasib suspek bertambah malang apabila teman lelaki meninggalkannya dan melarikan diri ke Kalimantan Selatan.
Bukan itu sahaja, lelaki tersebut turut menyekat suspek di media sosial.
"Dia (suspek) mengaku masih sepasang kekasih dan baru terputus hubungan. Tetapi pada April tahun lalu, lelaki itu menyekat suspek (di media sosial)," kata Reonald.
Tindakan teman lelaki suspek membuatkannya berputus asa. Suspek akhirnya cuba memulakan kehidupan baharu dengan berhijrah ke Konawe. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram